Thursday 31 December 2015

Seorang pengusaha kedai cuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Batu Uban, di sini.

Syed Amen Jainul Abdin, 45, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan mengaibkan Asymal Mansur, 41, di luar lobi JPJ cawangan Batu Uban, di sini pada 4.45 petang, 26 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BACA: Lelaki 'naik hantu' di JPJ Batu Uban didakwa

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee menawarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun peguam Rosli Ismail yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

"Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Saya telah memastikan anak guam saya hadir ke mahkamah pada hari ini dan saya ingin menegaskan bahawa dia boleh hadir ke mahkamah. Jadi, jaminan yang minimum adalah sepadan," kata Rosli.

Majistret L. Uma Devi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Akhbar semalam melaporkan rakaman video seorang lelaki yang berang menimbulkan kekecohan di pejabat JPJ itu menjadi viral selepas dikongsi semula di beberapa laman sosial antaranya Facebook.
 
Video berdurasi empat minit itu memaparkan dia sedang naik angin selepas mendakwa tidak boleh memperbaharui cukai jalan keretanya.

No comments:

Post a Comment