Friday, 5 June 2015

MERENDAHKAN DIRI KE HADRAT ALLAH SWT

Dari Saidina Umar ibn Al-Khattab, bahawa  beliau pernah berkata: “Sekiranya aku terdengar seruan yang melaungkan: Wahai seluruh manusia! Kamu semua akan memasuki syurga, melainkan seorang lelaki (yang tidak akan masuk syurga). Niscaya aku akan menyangka bahawa lelaki yang dimaksudkan itu adalah diriku”. [Kitab Hilyatul Awliya’]

Subhanallah! Bayangkan saudaraku, yang berbicara sedemikian adalah seorang sahabat mulia Rasulullah s.a.w., antara mereka yang terawal memeluki agama Islam dan berkorban jiwa dan raganya untuk agama, antara yang telah diberikan janji syurga oleh Rasulullah s.a.w. Namun begitu, tiada keegoan dan takabbur di dalam dirinya sehingga menganggap dirinya lebih baik dari teman-temannya mahupun kaum muslimin yang lain.

Kisah ini memberi suatu pengajaran kepada kita, akan kepentingan kita sebagai hamba Allah s.w.t, kadangkala perlu meletakkan diri kita pada tempatnya. Siapakah diri ini? Apakah yang sebenar-benarnya kita miliki? Jawatan, kewangan, keluarga dan sebagainya, semuanya kurniaan dan pinjaman dari siapa? Sekiranya kita dikurniakan kepandaian dan ijazah yang tinggi, bukankah itu suatu kurniaan Allah? Sekiranya kita dikurniakan kekayaan, bukankah semuanya itu nikmat dari Illahi? Bukankah kesihatan di jasad, ketenangan di jiwa, bahkan setiap dentuman di hati ini merupakan kurniaan Tuhan Yang Esa? Sekiranya segalanya milik Allah, segalanya kurniaan Allah, mengapa masih lagi sukar hati ini menundukkan diri di hadapan Allah? Mengapa perintah Allah masih lagi ditinggal-tinggalkan?

Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Isra’ ayat ke 37, di mana Allah memperingatkan insan agar sentiasa mengingati hakikat diri:

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan mampu untuk menembusi bumi, dan engkau juga tidak akan dapat menyamai ketinggian gunung-ganang”.

Antara kesan yang bakal diraih oleh mereka yang sentiasa merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t, adalah sifat tersebut akan terzahir dalam urusannya seharian sesama keseluruhan insan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat 63:

Yang bermaksud: ”Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang jahil mengucapkan kata-kata kepada mereka, mereka akan membalas dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”.

Dengan sifat merendah diri sesama manusia, seorang hamba sebenarnya akan menjadi insan yang lebih terbuka untuk menerima saranan orang lain. Dengan itu beliau akan sentiabiosa terbuka untuk menerima ilmu serta maklumat yang baru, sekaligus meningkatkan ilmu pengetahuannya, walau apa sekalipun pangkat ataupun umurnya.

No comments:

Post a Comment