MELAKA - Meskipun hanya menghantar dua penyertaan dalam kuiz Pertandingan Rakyat 1Malaysia (PR1M) sejak dimulakan Februari lalu, nyata nasib menyebelahi seorang pengurus muda apabila penyertaan keduanya membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM1,000.

Lim Khoon Sing, 30, pengurus sebuah hotel butik di sini, menyifatkan hadiah berkenaan tepat pada masanya kerana dia baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Melayu Februari lalu.

Dia yang memeluk Islam awal tahun ini turut mengganggap kemenangan itu sebagai rezeki anak memandangkan isterinya kini sedang mengandung anak sulung mereka.

Menurutnya, dia bercadang menggunakan hadiah kemenangan itu untuk membawa isterinya berbulan madu.

“Saya tak sempat berbulan madu selepas kahwin tempohari kerana terpaksa bertugas disebabkan banyak aktiviti di hotel tempat saya bekerja.

"Sekarang saya boleh bawa isteri saya berbulan madu. Saya juga bercadang nak gunakan duit ini untuk bawa mertua saya berbuka puasa pada bulan puasa nanti," katanya.

Menurut Khoon Sing, dia sering membaca Sinar Harian kerana hotel tempat dia bekerja melanggan akhbar ini.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kesibukan tugas, dia sering terlepas menghantar borang peraduan PR1M walaupun sudah mengisi jawapan.

“Sebab itulah saya sama sekali tak menaruh sebarang harapan untuk menang.

“Bila saya beritahu isteri saya sudah menang, dia pun pada mulanya curiga kerana bimbang mungkin dikenakan syarat tertentu seperti membayar yuran untuk mendapatkan hadiah.

“Tapi hari ini, saya cukup gembira kerana peraduan ini bukan saja benar dan saya sendiri dapat memegang wang kemenangan ini," katanya gembira.