Friday 1 May 2015

Bayi maut tertelan skru

Sik: “Saya meletakkan Muhamad Hafif di dalam kerusi bayi atau ‘walker’ dan membiarkan dia bermain sambil saya berdiri di sebelahnya kerana sedang mengemas meja.
“Saya tidak menyedari Muhamad Hafif menarik laci meja lalu mengambil skru dan memasukkan ke dalam mulutnya,” kata Morshida Abdullah, 39, ibu kepada Muhamad Hafif Khairi Abdul Nasser, 10 bulan, yang meninggal dunia, kelmarin, selepas enam hari koma akibat tertelan skru sepanjang tiga sentimeter dalam kejadian di rumahnya di Kampung Dusun Pengapit, Jeneri, di sini.
Dalam kejadian 2 April lalu, mangsa yang tidak sedarkan diri sejak hari kejadian disahkan meninggal dunia jam 5.52 petang, kelmarin, ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Morshida berkata, ketika kejadian jam 8 pagi itu, dia bersama-sama Muhamad Hafif berada di rumah manakala tiga lagi anaknya ke sekolah sementara suaminya keluar bekerja.
“Saya tidak sedar bila Muhamad Hafif tarik laci meja dan ambil sebatang skru yang disimpan di dalamnya dan terus memasukkannya ke dalam mulut.
“Sebaik menyedari Muhamad Hafif tiba-tiba tidak bersuara dan lemah, saya cemas dan memeriksa mulutnya sebelum mendapati sebatang skru sepanjang tiga sentimeter tersekat di dalam kerongkongnya.
“Panik dengan keadaan itu, saya menjerit ketakutan meminta tolong adik saya yang tinggal di sebelah rumah,” katanya.
Menurutnya, melihat keadaan Muhamad Hafif yang lemah terutama mukanya yang kebiruan, adiknya itu terus mengejarkan Muhamad Hafif ke Hospital Sik, di sini, sebelum skru panjang terbabit berjaya dikeluarkan.
Bagaimanapun, katanya, Muhamad Hafif tetap tidak sedarkan diri sebelum bayi malang itu terpaksa dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut.
“Kejadian menimpa Muhamad Hafif cukup menyedihkan. Selama ini memang saya selalu pastikan tiada objek kecil dan berbahaya di lantai rumah kerana saya tahu Muhamad Hafif gemar memasukkan barang yang dijumpainya ke dalam mulut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Sehingga kini siasatan lanjut sedang dijalankan dan hasil maklumat awal diterima, kita percaya tiada unsur penderaan berlaku dalam kes ini,” katanya.
Jenazah Muhamad Hafif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gajah Putih, di sini, malam kelmarin.
Artikel ini disiarkan pada : 
Khamis, 9 April 2015 @ 7:58 AM 
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42510?m=1#sthash.TtCsZ9HS.dpuf

No comments:

Post a Comment