Tuesday 21 April 2015

Sifat Amanah Dalam Melaksanakan Tanggungjawab – Pengajaran Dari Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz

Khalifah muslimin yang terkenal dengan sifat amanahnya ialah Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz. Beliau adalah cucu kepada khalifah kedua, Sayyidina ‘Umar Bin Al-Khattab r.a. Beliau dikenali dalam lipatan sejarah sebagai seorang khalifah yang warak, bersikap zuhud dan memimpin dengan prinsip keadilan dan merupakan seorang yang penuh amanah.

Antara kisah yang diriwayatkan berkaitan Umar ibn Abdul Aziz, Beliau berkata kepada anaknya:
Engkau harus ingat wahai anakku, lampu yang sedang ayah gunakan untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak kamu bincangkan dengan ayahanda adalah urusan keluarga." [Al-Bidayah wa Al-Nihayah].

Menurut riwayat sejarah, seperti terkandung di dalam Sirah Umar Ibn Abdul Aziz, tulisan Ibn Abd al-Hakam, dikatakan keadaan ekonomi ketika itu berada di paras yang amat baik sehingga tiada lagi orang miskin yang layak menerima zakat.

Beliau seringkali memikirkan akan dirinya yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah s.w.t atas kepimpinan dan amanah yang dipegangnya.
Dalam satu ungkapannya beliau berkata, “Saya menyedari bahawa Allah Maha Besar akan bertanya kepada saya tentang semua berkaitan rakyat, dan Nabi Muhammad s.a.w akan memberi keterangan tentang mereka. Saya takut sekiranya saya tidak mendapati sebarang alasan dihadapan Allah, dan tidak mendapat pembelaan daripada Nabi Muhammad s.a.w.” [Kitab Al-Kharaj, Imam Abu Yusuf]

Ini sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya…”. [Hadith riwayat Imam Bukhari]

Sesungguhnya kita juga akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah s.w.t berkaitan segala amanah yang telah diberikan kepada kita. Sebagai ketua keluarga, kita perlu memastikan isteri dan anak-anak kita mendapatkan hak yang sewajarnya. Anak-anak kekal terpandu dengan panduan agama.

Sebagai seorang pekerja, laksanakan tugas dan tanggungjawab, serta berusahalah untuk membawa peningkatan serta pembaharuan yang positif samada dalam suasana pekerjaan mahupun bagi kehidupan masyarakat.

No comments:

Post a Comment