Tuesday 21 April 2015

“ KAYA DUNIA MISKIN AKHIRAT ”                                                            

Sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal."Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya”. (Riwayat Muslim)

Dan sabda Rasulullah SAW lagi  yang  bermaksud “ Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka. ” (Riwayat Muslim)
             
Semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT. kerana penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Dalam banyak-banyak anggota, lidahlah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Dosa lidah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita pada hari ini.
Imam al-Ghazali pernah berkata: menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.
             

No comments:

Post a Comment