Khairy patut cermin diri, kata Ketua Pemuda PKR
Published: 15 April 2015 12:30 PM
Ketua Pemuda PKR itu berkata, kritikan Khairy terhadap gerakan #KitaLawan sebaliknya hanya satu taktik untuk mengalih perhatian daripada konflik yang sedang berlaku dalam Umno.
"Saya sarankan Khairy dan BN cermin diri dahulu untuk menyelesaikan masalah negara dan bukan bermain sandiwara politik untuk menunjukkan siapa lebih hebat menyokong Najib.
Menteri belia dan sukan itu semalam memperlekehkan sokongan rakyat terhadap #KitaLawan yang tidak mendapat sambutan berbanding gerakan Reformasi pada tahun 1998.
Khairy dalam ucapannya di Cyberjaya semalam berkata, gerakan itu tidak mampu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, begitu juga Reformasi yang ketika itu ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Perlu diingatkan bahawa gerakan Reformasi pada tahun 1998 merupakan satu gerakan spontan yang lahir daripada kemarahan rakyat terhadap kekejaman BN terhadap Anwar.
"Situasi berbeza kerana pada waktu itu rakyat tidak mempunyai barisan kempimpinan alternatif yang boleh seperti pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sekarang ini.
"Kebangkitan kali ini juga melibatkan rakyat pelbagai kaum, bukan hanya golongan Melayu seperti dahulu," kata Nik Nazmi.
Exco Selangor itu berkata, sehingga kini rakyat masih tidak berpuas hati dengan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pelbagai isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, kerajaan BN sedia ada sering menakut-nakutkan rakyat dengan tindakan undang-undang yang kejam, malah penangkapan dan soal siasat tanpa asas yang kukuh terhadap lebih 150 orang ahli politik PR dan aktivis jelas membuktikan kerakusan dan penindasan rejim BN.
Katanya, Khairy tidak sepatutnya memandang remeh tekanan rakat yang menyuarakan pendapat melalui media sosial dan semakin jelas didengari setiap hari walaupun diugut dengan tindakan undang-undang.
"Khairy juga harus ingat bahawa majoriti rakyat tidak mengundi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan Pakatan Rakyat juga memperoleh kerusi terbanyak dalam sejarah Malaysia bagi pimpinan alternatif di peringkat persekutuan dan negeri.
"Oleh itu beliau harus menerima hakikat bahawa kerajaan di bawah pimpinan Najib sudah lama ditolak oleh rakyat," katanya. – 15 April, 2015.
No comments:
Post a Comment