Kematian - Pertemuan Bersama Ilahi
Kita perlu selalu mengingatkan diri kita dengan hadith Nabi s.a.w. yang berpesan agar kita ini menjadi ibarat orang yang bermusafir di dunia ini. Ini bererti meskipun kita boleh mengimpikan kemewahan, kesenangan dan keselesaan di dunia ini namun pastikanlah semua itu adalah agar kita dapat lebih bersedia untuk saat yang difirmankan Allah s.w.t. dalam surah Al-Qiyamah ayat 26 hingga 30:
Yang bermaksud: “Sedarilah (akan keadaan) apabila roh sampai ke pangkal kerongkong, dan (orang-orang yang hadir di sisiNya heboh) berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?" dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu merupakan saat perpisahan; serta kedahsyatan yang bertindih-tindih; (maka) kepada Tuhanmulah, kamu dibawa (untuk menerima balasan)”.
Nabi s.a.w. menggalakkan kita agar selalu mengingati dan mengingatkan orang akan ketibaan maut. Di dalam hadithnya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati penghapus segala kelazatan: iaitu maut, sesungguhnya kubur berkata pada setiap hari: Akulah rumah yang terpulau, aku rumah persendirian, aku rumah tanah, aku rumah ulat. Apabila nyawa seorang mukmin ditanam, maka kubur berkata: Selamat datang, engkaulah orang yang aku paling cintai, sekarang engkau telah sampai kepada ku. Maka lihatlah apa yang akan aku perbuatkan kepadamu. Maka diperluaskan kubur itu seluas mata memandang, dan dibukakan dihadapanya pintu syurga”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi]
Berapa ramai teman dan saudara kita yang mungkin nampaknya masih sihat dan masih muda tetapi telah diundang Allah kembali ke pangkuanNya sebelum kita? Kita tidak mahu diundang Allah dalam keadaan diri kita masih dipenuhi noda dan dosa. Kita mengharapkan penghujung hayat yang indah. Kita inginkan ketika malaikat maut datang menjemput kita, beliau memberikan salam sejahtera sepertimana disebutkan di dalam Surah An-Nahl ayat 32:
Yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.
Tanyakan kepada diri kita saudara, bagaimanakah malam pertama kita nanti di liang lahad dengan beralaskan tanah? Adakah ia luas dan indah ibarat kebun syurga seperti di dalam hadith tadi atau adakah ia sempit menghancurkan tubuh badan kita dan dipenuhi siksa dan azab?
Bersedia untuk kematian tidak bermakna kita mengabaikan kehidupan dunia. Bahkan dengan memikirkan nasib kita ketika maut datang itulah seharusnya ia mendorong kita menjadi orang yang lebih baik, hamba Allah yang lebih taat dan pengikut Nabi s.a.w. yang lebih beramal.
Semoga Allah mengakhiri kehidupan kita dalam keadaan yang baik. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal kebajikan kita sehingga mengurniakan kita husnul khotimah dan menjemput kita dengan diiringi malaikatNya yang pelembut serta menjadikan kubur-kubur kita salah satu daripada taman-taman syurgaNya. Amin ya Rabbal ‘alamin.
No comments:
Post a Comment