*_Sebuah sajak penuh erti , penuh makna ; dideklamasi oleh Tun M pada 10 Disember 2016 di Sg Lalang, Sungai Petani, Kedah_*.
*Pada Yang Muda Kusematkan Harap*
Aku tidak perlu apa-apa kekayaan
Aku mengerti umurku yang tua
menunggu masa bertemu Ilahi
Aku boleh selesa diam tidak bersuara
Supaya dijulang dan diangkat oleh mereka
Sepanjang nafas dan usia
Tetapi aku harus bersuara di akhir hayat
Tanpa meminta apa-apa untuk diriku
Malah tidak mengapa aku dihina dan dicerca
Semuanya kerana mataku melihat kemusnahan
oleh pemimpin di puncak kuasa
Yang rakus dan boros tidak terhalang
Menabur rasuah dan membeli orang.
Pada mata tua ku
Aku melihat hutang berbilion
yang akan dibayar oleh cucu dan cicit rakyat
Aku melihat wang dipinjam hari ini
seperti tiada lagi hari esok
Semuanya
untuk membeli segala undi
untuk membeli segala kuasa
Pada senja hayatku
Aku melihat apa yang dibina berdekad lama
Dimusnahkan dengan wang
yang bukan miliknya
Dia menghidangkan wang haram untuk semua memujanya
Dia menjanjikan bulan dan bintang kepada semua
Tanpa mengira harga yang perlu dibayar
oleh cucu cicit kita
setelah dia tiada lagi bernafas
Segala wang haram
Disamun, dirompak dan dipinjam secara halus
Untuk dibayar oleh rakyat
Wang haram diselerakkan untuk suap dedak mereka
yang tiada lagi nilai dan hormat diri
Mereka menjual negara
Mereka menjual diri
Mereka menjual maruah
Mereka menjual agama
Aku tidak dapat melakukan semua
Namun pada yang muda ku sematkan harap
Untuk membetulkan Malaysia
Dengan bersama, BERSATU, berganding
Supaya ia tidak tenggelam
Dengan tangan kotor
dan harganya dibayar
oleh cucu dan cicit kita
_Tun Dr. Mahathir Mohamad_
_10 Disember 2016_
No comments:
Post a Comment