Sunday, 3 April 2016

Menjiwai Erti Kesyukuran Sebenar

Allah berfirman di dalam Surah Az-Zumar ayat 74:

Yang bermaksud: “Dan mereka berkata segala puji bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami dan mengurniakan kepada kami kawasan di dalam syurga agar kami dapat tinggal di dalamnya di mana sahaja kami kehendaki.”

Perkataan “Alhamdulillah” selalu kita sebutkan. Ia mengingatkan kita akan konsep kesyukuran dan penghargaan kepada Tuhan yang Maha Pemberi. Hanya sahaja kerana mungkin kerana terlalu sering kita melafazkannya, ada kalanya kita gagal menyadari betapa pentingnya konsep kesyukuran dalam membangun semangat dan potensi dalam diri kita.

Nilai inilah saudara, yang telah memberikan Rasulullah s.a.w. dorongan dan semangat untuk melaksanakan solat malam sehingga kakinya bengkak. Nilai inilah yang telah membangkitkan dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. kekuatan azam untuk melakukan munajat yang luar biasa. Dalam hadith yang diriwayatkan Imam Muslim, Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w. bangkit untuk solat malam sehingga pecah-pecah kakinya. Lalu aku bertanya “Wahai Rasulullah, mengapa kamu melakukan ini sedangkan kamu telah diampunkan segala dosa-dosamu yang silam mahupun akan datang?” Baginda menjawabnya dengan suatu respon yang menggamit jiwa saudara. Nabi bersabda: “Bukankah patut aku ini [kerana itu] menjadi hamba yang banyak bersyukur [kepada Allah].”

 Bilakah kali terakhir kita sujud sambil berkata: “Ya Allah, terima kasih atas segala nikmat yang telah kau kurniakan kepadaku!”

Semoga Allah menjadikan kita orang-orang yang bersyukur keranaNya dan untukNya. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan ahli syurga yang memujiNya sentiasa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

No comments:

Post a Comment