KUALA LUMPUR - Taklimat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, yang menyentuh tiga polemik semasa membelenggu parti dan negara, dilihat merungkai keraguan terhadap pelbagai dakwaan tidak berasas.
Keterbukaan Najib memperjelaskan polemik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana politik RM2.6 bilion dan cabaran ekonomi semasa dilihat tindakan tepat untuk merungkai apa jua keraguan dalam kalangan ahli Umno.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Hasan Malek berkata penjelasan berlandaskan fakta sebenar itu menjadi pemangkin kepada usaha memulihkan kembali kredibiliti parti dan kerajaan di mata rakyat, yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Tepukan gemuruh kira-kira 2,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2015 dan laungan 'Hidup Najib' yang bergema seusai taklimat tersebut, memberi mesej jelas bahawa solidariti anggota parti itu tetap utuh.
Hasan berkata kini menjadi tanggungjawab perwakilan menyebar luas maklumat diperoleh melalui majlis Taklimat Presiden itu ke peringkat akar umbi agar mereka juga jelas dan faham isu sebenar, sekali gus tidak mudah terperdaya dengan dakyah pihak tertentu.
"Penjelasan tepat mampu membawa ke arah kesatuan Umno yang lebih kukuh, dan anggota harus faham peranan dan tugas masing-masing supaya selepas ini kita boleh mengelak budaya menuding jari dalam apa jua permasalahan dihadapi.
"Masalah dalaman janganlah kita perbesarkan...seharusnya masalah yang ada ini, kita bersama-sama berganding bahu supaya ia dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada Bernama.
Umno sebagai parti tunjang kerajaan BN sedar sekiranya isu-isu besar yang membelenggu parti tidak ditangani dan diuruskan dengan baik, ia mampu memberi kesan khususnya terhadap kelangsungan parti.
Dengan berbaki kira-kira dua tahun setengah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, Umno mesti mengambil tindakan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya pula berkata cabaran dihadapi parti kini adalah untuk mengubah persepsi negatif rakyat terhadap Umno yang banyak disogokkan dengan maklumat palsu dan putar-belit oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan parti.
"Persepsi masyarakat, Umno mengalami krisis yang teruk adalah disebabkan Umno merupakan tunjang kepada kerajaan, maka ia diberikan perhatian oleh umum di luar sana berbanding pihak lawan yang turut mengalami krisis tidak berpenghujung, namun kurang diperhatikan masyarakat.
"Pada hari ini, apa berlaku ialah sebahagian proses untuk mematangkan parti. Saya yakin dengan kematangan yang Umno lalui selama ini, kita berjaya tempuhi bersama-sama," katanya.
Sementara itu, Ahli MT Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata apa yang penting sekarang ialah komitmen dan kesetiaan anggota parti terhadap institusi, adalah sangat dituntut bagi memastikan parti terus relevan.
"Dalam institusi parti ini, kita tak boleh dipisahkan dengan isu dan apabila perdana menteri berjaya atasi pelbagai isu kali ini, saya nampak Umno akan jadi lebih kuat dan mantap.
"Bagaimanapun, semua anggota kena mainkan peranan masing-masing dan melakukan gerak kerja berstrategi bagi memastikan Umno kembali mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment