Tuesday, 10 November 2015

Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa kemudian mengesahkan kanak-kanak itu mati lemas dan tidak melibatkan unsur jenayah. -Gambar hiasan
KOTA TINGGI: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketiga pada 4 Nov ini, tidak kesampaian apabila dijumpai mati lemas setelah dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembetung tandas di rumah datuknya, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata mangsa Muhammad Indra Hakimi Jalaludin disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Waha, di sini.

Menurutnya, kejadian 4 petang itu disedari ibu bapanya selepas mendapati anaknya tiada dalam rumah.

Mereka kemudian keluar ke belakang rumah untuk mencari dan mendapati lubang pembetung tandas terbuka.

"Apabila meraba dalam lubang itu, mereka mendapati anaknya di situ," kata Rahmat dalam kenyataan di sini hari ini.

Rahmat berkata hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa di Hospital Kota Tinggi (HKT) kemudian mengesahkan kanak-kanak itu mati lemas dan tidak melibatkan unsur jenayah.

Sementara itu, menurut datuknya, Saparon Sibun, 65, dia sempat bermain dengan cucunya sebelum kejadian itu namun dia terpaksa meninggalkan mangsa bersendirian ketika menerima pelanggan yang mahu menggunting rambut di rumahnya.

Saparon berkata dia hanya sedar kehilangan cucunya apabila tidak melihat kelibatnya dalam rumah dan kemudian mengajak anggota keluarga mencari.

"Kami mencari di seluruh isi rumah namun tidak menemui Kimi (mangsa), lepas itu baru saya teringatkan tempat lubang najis dan segera ke sana dan mendapati benar dia berada di dalamnya.

"Bagaimanapun, Kimi tidak sedarkan diri dan wajahnya pucat dan kami membawanya ke klinik desa sebelum disahkan meninggal dunia," kata Saparon yang ditemui di Unit Forensik Kesihatan HKT, di sini.
Saparon berkata Kimi merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang aktif dan petah bercakap.

No comments:

Post a Comment