Wednesday, 1 April 2015

ETIKA DALAM MEMBERI NASIHAT
Nabi s.a.w. bersabda:
“Agama itu adalah nasihat.” [Hadith riwayat Imam Muslim]

Nasihat merupakan ciri dakwah penting yang kini dilakukan melalui pelbagai wadah interaksi sesama manusia. Di samping memberi nasihat secara bersemuka, nasihat juga dapat disampaikan melalui rangkaian-rangkaian sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya.

Menurut pandangan Imam Al-Ghazali r.a. nasihat itu adalah untuk kita “menginginkan kekalnya nikmat Allah ke atas saudara kita.” Itulah pengertian dan juga objektif yang pertama dalam menyampaikan nasihat. Ia bermula dengan menaruh niat ikhlas serta mengharapkan kebaikan untuk semua. Inilah akhlak dan ciri yang pertama yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang ingin mengamalkan sunnah nasihat menasihati antara satu dengan yang lain. Adakah kita ini menasihati kerana benar-benar mengharapkan perubahan dan suatu peningkatan, atau kita hanya melakukan demikian kerana kita merasakan diri kita lebih baik atau kita merasa hebat dapat menegur atau memperbetulkan orang lain? Dalam kita menasihati seseorang jangan lah lupa untuk kita mendoakan agar Allah membimbing kita terlebih dahulu agar dapat memberi nasihat yang boleh diterima dan kemudian mendoakan saudara yang kita ingin nasihati.

Tambahan dari ini, antara etika dan adab yang perlu juga diperhatikan seseorang dalam memberi nasihat kepada temannya adalah untuk tidak membuka keaiban dan kekurangan temannya atau mempersenda orang yang ingin kita cuba nasihati.

Tanyakan kepada diri kita sendiri saudara, seandainya kita ini telah melakukan sesuatu kesilapan atau terdapat kekurangan, kemudian orang mengaibkan atau memalukan kita atas nama menasihati, apa agaknya perasaan kita? Adakah kita akan dengan mudah menerima nasihat orang yang telah mengaibkan kita atau sebaliknya? Begitu jugalah hendaknya jika kita benar-benar ikhlas inginkan teman kita menjadi lebih baik dan menerima nasihat kita. Nasihat yang tidak dihiasi adab dan pendekatan akhlak yang indah bukanlah suatu nasihat. Bahkan ia mungkin sahaja akan menjauhkan seseorang daripada kebaikan.

Ingatlah saudaraku, selain dari diri Nabi s.a.w., tiada insan yang maksum serta bebas dari kesilapan dan cacat cela. Termasuk diri saya dan tuan-tuan yang membaca ini. Kita semua mengharapkan agar Allah s.w.t. menutupi keaiban diri kita, samada di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Nabi bersabda: “Tidaklah seseorang hamba itu menyembunyikan keaiban yang lain, melainkan Allah akan menyembunyikan keaibannya pada hari kiamat.” [Hadith riwayat Imam Muslim]

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawasanya sikap lemah-lembut tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, jika lemah-lembut itu dicabut dari sesuatu, maka ia akan membuatnya menjadi buruk.” [Hadith riwayat Imam Muslim]

Aspek berhikmah dalam menegur itu menjadi kritikal, lebih-lebih lagi tatkala kita menyaksikan sebahagian hamba Allah s.w.t. yang kerana memiliki semangat keagamaan yang berkobar-kobar dan dengan alasan ingin menegakkan yang hak, melanggar garispandu dan etika yang ditetapkan agama dalam memberi nasihat.

Oleh itu perhatikan aspek berhikmah dalam memberi teguran dan nasihat. Semoga melalui nasihat dan teguran yang diberi, ia bakal membawa kepada kebaikan untuk umat dan masyarakat. Dan semoga diri kita ini sentiasa dikurniakan illahi taufiq untuk mencontohi akhlak dan pekerti Nabi s.a.w. Amin Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment