KUALA LUMPUR - Pengoperasian dan tanggungjawab pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan negara tidak terjejas berikutan langkah penjimatan kerajaan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal.
 
Ketua Polis  Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memberi jaminan tersebut berikutan tindakan kerajaan merasionalisasikan perbelanjaan negara.
 
Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan melihat semula semua pembelian peralatan sejajar dengan langkah kerajaan.
 
"Kita akan melihat keutamaan yang penting dalam pembelian aset pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara tersebut dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara hari ini.
 
Najib berkata, kerajaan akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak RM300 juta.
 
Khalid berkata, PDRM akan sentiasa memastikan penjimatan itu tidak menjejaskan operasi harian pasukan keselamatan itu.
 
Zulkifeli pula berkata, penjimatan itu tidak akan menjejaskan kawalan sempadan negara serta operasi pasukan pertahanan negara.
 
Menyentuh mengenai pembinaan pusat kawalan dan operasi di laut di kawasan perairan Sabah beliau berkata, projek itu akan diteruskan kerana ianya dibiayai oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
 
Petronas telah memberi komitmen bagi menyediakan pelantar berhubung cadangan pelaksanaan pusat kawalan itu bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Sabah.
 
Cadangan pembinaan pusat kawalan itu timbul selepas insiden kes penculikan di Sabah, dengan kes terakhir pada 6 Mei tahun lepas yang melibatkan seorang warga China Yang Zai Lin, 34, yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat penternakan ikan, di Pulau Baik, Lahad Datu, oleh lima lelaki bersenjata. - Bernama