Sunday 31 December 2017

SABDA Rasulullah s.a.w.;
خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
Maksudnya: “Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai” [HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.].

Berdasarkan hadis ini, para ulamak melarang lelaki muslim mencukur janggutnya. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); arahan menyimpan janggut dalam hadis di atas adalah arahan wajib. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Dimakruhkan mencukur janggut. Adapun membuang sebahagian dari panjang atau lebarnya jika terlalu lebat, maka itu adalah baik/elok”. Imam Malik memakruhkan janggut yang terlalu panjang. Sebahagian ulamak menggalakkan dipotong janggut yang melebihi satu genggaman tangan. Dalam Soheh Imam al-Bukhari ada diceritakan; Ibnu Umar r.a. bila mengerjakan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggungnya, yang lebih (dari genggaman) akan dipotongnya” (Riwayat Imam al-Bukhari). Namun ada juga ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) yang berpandangan; janggut hendaklah dibiarkan tanpa diganggu kerana Nabi s.a.w. menyebutkan di dalam hadis tadi; “….biarkanlah janggut..”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).  Hukum menyimpan janggut sini, sini, sini dan sini
 
Alhamdulillah! Di Malaysia kini dapat kita lihat semakin ramai dari kalangan kaum muslimin menjadikan berjanggut sebagai salah satu dari penampilan diri. Walaupun kita mungkin tidak dapat untuk mengetahui niat sebenar di hati mereka menyimpan janggut, namun sekurang-kurangnya kita dapat melihat, salah satu identiti sebenar kaum Muslimin kini menjadi identiti Muslimin di Malaysia. Jadi rasanya, tidak perlulah untuk kita mempertikaikan apakah niat sebenar mereka ini menyimpan janggut samada meniatkan ia sebagai mengikut sunnah ataupun bukan.

Dalam pada itu, sesuatu yang boleh dikira sebagai agak menarik juga apabila bukan sahaja lelaki Muslim sahaja yang menjadikan berjanggut sebagai identiti bahkan dapat juga dilihat di tengah-tengah masyarakat, kaum lelaki dari kalangan non Muslim juga telah ramai yang menyimpan janggut dan menjadikan ianya sebagai identiti diri. Tidak kisahlah apapun niat mereka itu turut menyimpan janggut. Kita biarkan sahaja, kerana itu adalah hak mereka sebagai manusia.

Bercakap tentang janggut, anggota-anggota pasukan keselamatan di negara kita terutamanya polis dan tentera tidak dibenarkan menyimpan janggut (mungkin ada anggota yang menjalankan tugas undercover sahaja diarahkan menyimpan janggut). Itulah identititi rasmi anggota-anggota keselamatan negara kita semenjak dari zaman awal penubuhan polis dan tentera Malaysia lagi kerana itulah arahan dari penjajah British.

Penulis sejak dahulu lagi tidak dapat memahami, apa sebenarnya rasional disebalik larangan menyimpan janggut di kalangan anggota-anggota keselamatan negara. Cuma apa yang dapat Penulis fikir adalah mungkin larangan berjanggut oleh penjajah tersebut kerana sebagai mengikut cara pasukan keselamatan di negara penjajah tersebut. Bahasa mudahnya, mengikut cara dan gaya kaum musyrik. Jika itulah sebabnya maka malanglah nasib kita ummat Islam kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (mafhumnya):-
"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dari golongan mereka" [Hadith riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibn Hibban]

Dan lebih malang lagi kerana kita mengikut sahaja perlakuan kaum Musyrikin sehinggakan meninggalkan apa yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. itu (samada wajib atau sunat muakkad ianya menjadi perselisihan pendapat antara ulama'-ulama mu'tabar ).

Mungkin akan ada yang berhujjah bahawa larangan menyimpan janggut adalah untuk memastikan atau menjaga disiplin anggota-anggota keselamatan negara kita. Namun begitu, Penulis tidak bersetuju dengan hujjah tersebut kerana jika disiplin menjadi kayu ukur maka Penulis ingin bertanya pula, bagaimana pula dengan disiplin kita terhadap hukum agama Islam yang meletakkan menyimpan janggut di kalangan lelaki-lelaki muslim adalah suatu sunnah? Relakah kita (ummat Islam) mengabaikan disiplin agama kita semata-mata untuk menjaga disiplin mengikut perspektif bukan Islam?

Penulis tertarik dengan penampilan anggota-anggota keselamatan negara lain, terutamanya di negara-negara ummat Islam yang mana dibenarkan untuk menyimpan janggut. Penulis tidak nampak dimana kurangnya disiplin anggota-anggota keselamatan tersebut. Penulis juga tidak nampak pergerakan anggota-anggota keselamatan tersebut terbatas hanya kerana menyimpan janggut. Mungkin ada hujjah mengatakan larangan menyimpan janggut adalah untuk menjaga penampilan diri anggota-anggota keselamatan. Jawab Penulis, apa gunanya penampilan luaran nampak bersih dan kemas tapi, cuai menjalankan tugas, tidak amanah dan rasuah?

Penampilan luaran sebenarnya pada pandangan Penulis hanyalah kulit semata-mata. Bagi Penulis, penambilan sebenar yang sewajarnya dititikberatkan oleh setiap anggota keselamatan adalah penampilan dalam bentuk hubungan baik dengan masyarakat dan yang lebih utama adalah hubungan baik kita dengan Allah SWT. Kalau kedua-dua ini tidak ada dalam diri setiap anggota keselamatan, walaupun muka/wajah selicin mana tanpa sehelai bulu roma sekalipun maka tidak ada gunanya juga.

Penulis yakin akan keluar jawapan, "ini adalah arahan dari pemimpin atasan / kerajaan. Jadi kena patuh pada arahan tanpa ada sebarang bantahan." Penulis nak ingatkan semua, sekiranya terdapat sebarang pertikaian dalam sesuatu isu/perkara maka kita perlu ingat pada perintah Allah SWT yang terlebih-lebih lagi wajib kita taati. Firman Allah SWT (mafhumnya):-
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [An-Nisaa': 59]

Jadi fikirkanlah sendiri, mana yang lebih utama. Arahan pihak atasankah atau arahan dari Rasulullah s.a.w. Jadi Penulis rasakan dalam hal ini, pemimpin negara kita perlu untuk mengkaji semula larangan terhadap anggota keselamatan untuk menyimpan janggut. Dan bagi pasukan keselamatan yang tidak terikat dengan peraturan melarang anggotanya menyimpan janggut tetapi ada cita-cita untuk mengikut peraturan tersebut, fikirkan balik. Manakala lelaki muslim yang memang tidak ada halangan langsung tu, amalkanlah sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut. Simpanlah janggut. Semakin terserlah kematangan diri. Betul cakap ni, Langsung tak bohong.

No comments:

Post a Comment