Monday, 27 February 2017

SEBUT sahaja Korea Utara, perkara pertama yang bermain di minda majoriti kita semua adalah sebuah negara yang mengasingkan diri, bermusuh dengan jiran mereka iaitu Korea Selatan dan mempunyai seorang pemimpin tertinggi yang dianggap ‘dewa’ oleh rakyatnya.

Oleh sebab itu, apa sahaja berita yang melibatkan Korea Utara sudah pasti akan menarik perhatian dunia. Apa tidaknya, negara ini juga diuar-uarkan mempunyai kekuatan senjata nuklear dan ia amat menggerunkan jiran-jiran mereka di Asia timur.

Sejarah Korea Utara bermula apabila semenanjung Korea dipecahkan selepas Perang Dunia Kedua mengikut persetujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1945.

Bahagian utara diselia oleh Soviet Union (sekarang Russia) dan selatan oleh Amerika Syarikat. Korea Utara mengambil ideologi sosialis dan selatan pula mengikut corak Amerika iaitu demokrasi.

Oleh kerana dua ideologi berbeza antara Korea Utara dan Selatan, kedua-dua mereka melihat jiran mereka sebagai musuh yang mahu menguasai seluruh semenanjung Korea. Oleh sebab itu provokasi antara mereka semakin memuncak.

Pada 25 Jun 1950, perang antara kedua-kedua negara itu meletus. Perang Korea adalah perang paling besar selepas Perang Dunia Kedua yang menyebabkan kira-kira 5 juta orang terbunuh.

Perang ini juga meninggalkan luka amat dalam kepada rakyat kedua-dua negara itu dan ia boleh dilihat hingga ke hari ini.

Selepas perang, Korea Utara terus mengasingkan diri dari dunia. Mereka mengamalkan dasar tutup pintu hingga ke hari ini. Amat sedikit maklumat yang keluar dari negara tersebut.

Maklumat yang diperoleh hanyalah dari rakyat negara tersebut yang melarikan diri.

Dasar tutup pintu ini menyebabkan rakyat mereka sengsara apabila terjadinya kemarau teruk pada tahun 1990an.

Ia berlaku kerana kejatuhan Soviet Union sekali gus menyebabkan mereka terputus bantuan kewangan dan makanan. PBB merekodkan kemarau teruk ini menyebabkan dua juta kematian rakyat Korea Utara.

Rentetan daripada ini, semakin ramai rakyat Korea Utara melarikan diri kerana tidak tahan dengan pemerintahan diktator yang amat kejam.

Antara individu terkenal yang membelot dari kepimpinan Korea Utara adalah No Kum-Sok. Dia adalah antara orang terawal yang melarikan diri iaitu pada 21 September 1953.

Kum-Sok juga adalah juruterbang MIG-15. Pada pertengahan perang Korea, dia berjaya mendaratkan MIG-15 ke lapangan terbang Kimpo di Korea Selatan.

Dia bertindak melarikan diri kerana keluarganya terlebih dahulu keluar dari Korea Utara pada 1951. Selepas menyerahkan sebuah pesawat pejuang Soviet kepada Amerika, dia dianugerahkan sejumlah wang.

Dengan wang ini dia berhijrah ke Amerika dan menukar nama kepada Kenneth Rowe.

Selain itu, sebuah lagi kisah pembelot Korea Utara yang menarik adalah Kim Shin-Jo. Dia merupakan salah seorang dari tentera elit yang ditugaskan untuk membunuh Presiden Korea Selatan, Park Chung-Hee pada 1968.

Ketika pertempuran berlaku, Chung-Hee telah berjaya ditawan dan siasatan mendapati dia tidak menembak walau satu pun peluru.

Dia dibebaskan dan pada tahun 1970 dia telah menjadi warga negara Korea Selatan. Selepas itu, Chung-Hee telah mendapat berita semua ahli keluarganya telah dibunuh dan dipenjarakan kerana tindakannya yang membelot.

Kes di Malaysia

Pada 13 Februari, seluruh rakyat Malaysia terkejut apabila pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara berlaku di sini.

Kita tidak menyangka insiden seperti yang digambarkan dalam filem benar-benar boleh terjadi dan ianya berlaku secara terbuka, di sebuah lapangan terbang yang dipenuhi oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Kematian Kim Jong-nam ini menyebabkan perang mulut antara Kuala Lumpur dan Pyongyang. Walaupun majoriti rakyat dan pakar melihat isu ini tidak akan sampai ke tahap operasi ketenteraan, namun ia tetap menarik untuk diikuti.

Pada laporan Sorot minggu ini, Sinar Harian akan membawa pembaca mengenali lebih dekat negara terasing ini tetapi mempunyai sebuah pasukan bola sepak yang mantap ini!

Info mengenai Korea Utara

Korea Utara terletak di semenanjung Korea dan berkeluasan 120,540 km persegi.

Bersempadan dengan Korea Selatan dan China di utara, negara ini berada di laluan utama dan menyaksikan banyak peperangan sejak ratusan tahun lalu.

Semenanjung Korea ini juga menjadi perebutan antara kerajaan China dan Jepun sejak dahulu lagi.

Jumlah penduduk di negara ini berdasarkan bancian 2013 berjumlah 24,895,000 orang.

Ibu negaranya Pyongyang merupakan bandar terbesar dan menjadi tempat kediaman kepada golongan elit, pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat yang setia.

Korea Utara juga dikategorikan sebagai negara berpendapatan rendah dengan perkapita isi rumah sebanyak RM6,800.

No comments:

Post a Comment