Monday, 2 January 2017

Dr Rozaimi Ramle's Channel:
SUDAH SOLAT SENDIRIAN KEMUDIAN ULANG SOLAT SECARA BERJEMAAH.

Asalamualaikum Dr. Saya ingin tahu adakah jika saya solat Subuh dirmh setelah Azan selesai di surau...setelah saya selesai Solat saya terdengar muazzin masih berkumandang di Masjid dan saya terus ke masjid utk solat. Adakah boleh saya solat dimasjid berjemaah sedangkan saya telah selesai solat dirumah..

Jawapan:

Digalakkan mengulangi solat untuk berjemaah jika sebelum itu sudah solat sendirian

حَدَّثَنَا جَابِرُ بْنُ يَزِيدَ بْنِ الأَسْوَدِ الْعَامِرِيُّ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ شَهِدْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَجَّتَهُ فَصَلَّيْتُ مَعَهُ صَلاَةَ الصُّبْحِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ ‏.‏ قَالَ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ وَانْحَرَفَ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي أُخْرَى الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ فَقَالَ ‏"‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏"‏ ‏.‏ فَجِيءَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ ‏"‏ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏"‏ ‏.‏ فَقَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا ‏.‏ قَالَ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ ‏"‏ ‏.
Daripada Yazid bin al-Aswad al-‘Amiriy radiallahu ‘anhu: Aku pernah menunaikan haji bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu aku solat Subuh bersama baginda di masjid al-Khaif. Apabila baginda telah menunaikan solat tersebut, baginda berpaling dari arah kiblat lalu terlihat dua lelaki di belakang jemaah yang tidak solat bersama baginda. Baginda berkata: Bawa mereka kepada ku. Mereka dibawa dan mereka berdua dalam keadaan sangat takut. Baginda lalu bertanya: Apakah yang menghalang kalian daripada solat bersama kami? Mereka berdua menjawab: Ya Rasulullah, sesungguhnya kami telah solat di khemah kami. Baginda bersabda: Jangan lakukan begini. Apabila kalian berdua telah solat di tempat kalian, kemudian kalian datang ke masjid bersama jemaah, hendaklah kalian solat bersama mereka. Sesungguhnya itu dikira solat sunat untuk kalian. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab as-Solat, Bab Ma Jaa Fi ar-Rajul Yusolli Wahdah Thumma Yudriku al-Jama’ah, hadis no: 219, hasan sahih].

 Di sisi mazhab Syafie, apabila seseorang telah solat fardhu secara bersendirian kemudian dia melihat adanya jemaah, maka disunatkan untuknya mengulangi solat itu secara berjemaah. Solat yang kedua itu dikira solat sunat. Ia umum kepada semua solat fardhu 5 waktu menurut pendapat yang lebih kuat dalam mazhab Syafie.

 Jika seseorang telah mendirikan solat secara berjemaah pula, adakah dia masih digalakkan mengulanginya secara berjemaah? Terdapat beberapa pendapat dalam mazhab Syafie, yang paling benar ialah ia tetap digalakkan sebagaimana hadis yang menyebutkan: ‘Adakah ada sesiapa yang mahu bersedekah ke atas lelaki ini lalu mendirikan solat bersamanya’.

Perbandingan pendapat mazhab dalam bab mengulangi solat jemaah
 Mazhab Syafie: Digalakkan untuk diulangi secara berjemaah untuk semua jenis solat fardhu 5 waktu, tidak kira sama ada solat yang pertama dilakukan secara berjemaah atau bersendirian. Pendapat ini disepakati oleh Sa’id bin al-Musayyib, Ibn Jubair, Az-Zuhri.

 Ali bin Abi Talib, Huzaifah dan Anas turut berpegang kepada pendapat yang sama akan tetapi untuk solat Maghrib mereka menyatakan bahawa orang yang solat kali ke 2 itu perlu menggenapkan menjadi 4 rakaat. Ini juga pendapat mazhab Ahmad. Akan tetapi di sisi mazhab Syafie solat Maghrib kali ke
 2 itu tetap 3 rakaat.

 Diulangi semua solat kecuali solat Maghrib supaya solat Maghrib itu tidak menjadi genap. Ini merupakan pendapat ‘Abdullah bin Mas’ud, Malik, Al-Awzai’e, dan At-Tsauri.

 Diulangi kecuali solat Subuh dan Asar. Ini merupakan pendapat Al-Hasan Al-Basri.

 Abu Hanifah: Yang diulangi hanyalah solat Zuhur dan Isya’ sahaja.

 An-Nakhaie: Diulangi solat kecuali solat Subuh dan Maghrib.

Imam an-Nawawi menyatakan kesemua pendapat ini dhaif, yang benar ialah diulangi secara mutlak kesemua jenis solat 5 waktu berdasarkan keumuman hadis.

Wallahua'lam.

-ADMIN-

Page Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith

No comments:

Post a Comment