Tuesday 13 December 2016

Pulau pinang penggecualian cukai pintu

11 DIS 2016

PULAU PINANG: PENGECUALIAN CUKAI PINTU UNTUK RUMAH KOS RENDAH, RUMAH KOS SEDERHANA RENDAH DAN RUMAH KAMPUNG/ BERTANAH SERTA PENGURANGAN CUKAI PINTU

Kerajaan Negeri amat prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah dengan keadaan ekonomi yang gawat ekoran skandal 1MDB yang menyebabkan penurunan nilai matawang ringgit secara mendadak, lebih-lebih lagi selepas cukai GST sebanyak 6% dilaksanakan sejak April 2015. Berikutan itu, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat dan memahami penderitaan rakyat golongan kurang berpendapatan, Kerajaan Negeri akan memberikan pengecualian cukai pintu bagi tahun 2017 kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/ bertanah.

Pengecualian cukai ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang dapat dimanfaatkan oleh pemilik rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung adalah sebanyak RM14,093,705.78, di mana cukai pintu yang sepatutnya dipungut pada tahun 2017 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ialah RM8,058,628.78 dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebanyak RM6,035,077.00.

Selain daripada pengecualian cukai yang diberikan sebanyak RM14,093,705.78 ini, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung bebanan GST yang dianggarkan sebanyak RM46.2 juta setahun. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan MBPP dan MPSP untuk menanggung beban GST untuk tahun 2016 sebanyak RM19.36 juta yang tidak akan dibayar oleh rakyat tetapi ditanggung sendiri oleh MBPP dan MPSP. Ini juga akan diteruskan untuk tahun 2017. Ini bermakna rakyat Pulau Pinang akan mendapat penjimatan sebanyak RM19.36 juta daripada pembayaran GST.

Saya juga ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil. Potongan 6% ini akan memberikan penjimatan kepada pemilik di kawasan MBPP sebanyak RM11,829,732.70 dan MPSP sebanyak RM9,907,892.00. Potongan 6% cukai pintu ini akan menyebabkan beban kewangan sebanyak RM21.74 juta kepada MBPP dan MPSP.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan bahawa Pulau Pinang boleh mencatatkan lebihan belanjawan tanpa mengenakan GST sekiranya ada tata kelola baik dan sebuah pentadbiran bersih berteraskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) diamalkan.

Langkah ini oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mampu menjimatkan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang sebanyak RM55.19 juta bagi tahun 2017, hasil urus tadbir CAT dan pengurusan kewangan yang bersih ini membolehkan lebihan belanjawan setiap tahun.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment