Sunday 15 February 2015

Tindakan gemar melabel satu sama lain menyebabkan Perlis digelar 'Perlis Darul Wahabi' dan penduduknya dianggap mengamalkan ajaran Wahabi hanya kerana ada segelintir yang amalannya sedikit berbeza dari majoriti orang Islam di Malaysia.

Mufti Perlis yang baru dilantik awal bulan ini, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dirinya dan penduduk negeri di utara Semenanjung itu mengamalkan Wahabi seperti didakwa sesetengah pihak, menegaskan yang beliau sama sekali tidak akan menerimanya sebagai satu fahaman mazhab.

Asri, yang dilantik buat kali kedua menduduki kerusi itu berkata, menghormati ajaran itu sebagai salah satu kepelbagaian dalam Islam tidak bermakna mereka pengikut Wahabi.

"Saya nak beri jaminan, tidak ada Wahabi di Perlis. Kami tak percaya dengan ajaran itu yang dipanggil sebagai mazhab," katanya dalam temubual dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Asri berkata, masalah terjadi disebabkan perbezaan amalan dan kebiasaan masyarakat yang mudah melabelkan seseorang dengan pandangan yang negatif, sedangkan ada juga unsur yang baik dalam fahaman itu.

"Kami bukan Wahabi. Kami sama sekali tidak menerima Wahabi sebagai mazhab. Kami juga bukan Wahabi seperti apa yang mereka faham tentang Wahabi.

"Kami cuma hormati satu sama lain. Kami mengiktiraf pelbagai ulama daripada ajaran yang berbeza, kita tak kisah.

"Tetapi kalaulah Wahabi itu dijadikan satu fahaman atau mazhab, kita tidak menerimanya kerana saya tak jumpa mana-mana mazhab yang dipanggil Wahabi," katanya.

Sesetengah penduduk Islam di Perlis melakukan amalan berbeza dengan penganut majoriti di negeri lain, seperti tidak mengadakan majlis tahlil serta tidak membaca doa qunut yang merupakan salah satu amalan sunat dalam solat subuh.

Jelasnya, amalan itu menyebabkan mereka dilabelkan 'terpesong' daripada Islam, sedangkan hakikatnya ia tidak diwajibkan dalam agama.

"Ini masalah orang Melayu, melabel. Bila berbeza dia akan panggil kita Wahabi, sebab dia tidak ada jawapan kepada persoalan mereka.

"Sebahagiannya lebih teruk lagi. Mereka dah tak tahu nak kata apa, anggap kita murtad, rosak akidah. Agama dijadikan satu hukuman.

"Saya rasa 2/3 (penganut Islam) dalam dunia ini tidak (membaca) qunut. Jadi nak panggil mereka Wahabi atau apa?

"Pergi ke Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang mereka juga tidak ada qunut, kenapa tak panggil sahaja mereka Wahabi?" soal Asri.

Katanya, ini merupakan isu lama yang sengaja diulang golongan fanatik yang merujuk diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi melabelkan masyarakat lain dengan pandangan negatif.

"Mereka gelar diri mereka ahli sunnah, tetapi mereka ahli sunnah yang tidak mempromosikan kebaikan dan mencegah kejahatan, yang hanya melabel orang lain.

"Itu sahaja mereka tahu, dengan melabelkan orang. (Kononnya) Hanya mereka sahaja golongan yang boleh jumpa Allah di syurga," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan terbabit supaya berubah dengan berfikir secara rasional dan belajar menerima perbezaan dan kepelbagaian dalam ajaran agama.

Asri pernah mencetuskan kontroversi apabila dianggap pendukung Wahabi selepas ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berceramah di Hulu Kelang atas dakwaan mengajar tanpa tauliah pada November 2009.

Namun, Mahkamah Syariah Gombak Timur membebaskannya daripada sebarang pertuduhan selepas hakim mendapati Jais gagal membuktikan kewujudan kes dalam kandungan ucapannya semasa malam kejadian.

Namanya juga pernah disebut sebagai antara tokoh agama yang terlibat dengan aliran Wahabi dalam satu taklimat anti keganasan anjuran polis di Sepang pada Jun 2010. – 14 Februari, 2015.

No comments:

Post a Comment