GEORGETOWN - Walaupun beroperasi di kawasan yang tidak sesuai namun restoran nasi kandar Line Clear tetap diberi lesen kerana sudah menjadi ikon Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengakui lesen perniagaan yang diberikan kepada pemegang lesen restoran itu kerana nama nasi kandar sudah menjadi ikonik.

Beliau berkata, langkah itu juga membuktikan usaha kerajaan negeri membantu peniaga Melayu walaupun perniagaan itu dijalankan di kaki lima.

“Jika ikut peraturan, nasi kandar Line Clear tidak layak diberi lesen perniagaan. Namun kerana nama besar Line Clear itu sendiri yang menjadi ikonik kepada Pulau Pinang, maka lesen dikeluarkan.

“Nama Line Clear itu sendiri bertindak sebagai ‘lesen’. Semua orang kenal nasi kandar Line Clear malah ada yang datang ke Pulau Pinang kerana Line Clear," katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, pemberian lesen oleh  Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) adalah bukti ia tidak pernah bersikap berat sebelah terhadap peniaga Melayu.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail menegaskan tindakan MPPP merampas kerusi, meja dan peralatan perniagaan di premis itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, tindakan yang diambil itu selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja 1979.

Sehubungan itu, Guan Eng meminta agar masalah perniagaan keluarga itu tidak dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri.
“Sikap sesetengah pihak yang mempolitikkan isu ini amat dikesali. Ia adalah masalah keluarga dan sudah dibawa ke mahkamah.

"Biar mahkamah buat keputusan. MPPP hanya mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, siapa yang tidak ada lesen, maka akan dikenakan tindakan," katanya.

Isu nasi kandar Line Clear tercetus apabila anggota penguatkuasa MPPP merampas kerusi dan meja premis itu kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen tahun 2015.

Bagaimanapun,  pengendali premis itu berjaya memperolehi perintah mahkamah untuk menghalang MPPP darii terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya.

Peguamnya berkata, keputusan itu dikeluarkan mahkamah tinggi selepas membuat permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan penggiliran dan tindakan penguatkuasaan ke atas premis itu oleh MPPP pada 10 November tahun lalu.