SHAH ALAM - Perisian lama yang sudah tidak boleh dinaiktarafkan oleh syarikat pengeluar menjadi punca mengapa mesin juruwang automatik (ATM) mudah untuk digodam.

Pakar teknologi maklumat, Rehan Ahmad percaya isu penggodaman ATM yang berlaku hingga mengakibatkan beberapa buah bank kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan sistem keselamatan yang berpunca daripada penggunaan perisian lama.

Menurutnya berdasarkan pengalaman, kebanyakan syarikat perbankan mahu mengurangkan kos menyebabkan mereka enggan menukarkan kepada perisian terkini.

“Sindiket ini tidak menggunakan virus, sebaliknya menggunakan program yang direka khusus untuk melakukan pengeluaran wang  secara tidak sah. Ia hanya boleh dilakukan melibatkan ATM yang menggunakan perisian lama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Meissa Group Sdn Bhd berkata sindiket yang terbabit dalam kerja penggodaman ini benar-benar arif dan tahu seelok belok penggunaan dan kelemahan mesin berkenaan.

“Berdasarkan modus operandi mereka yang licik, saya yakin sindiket terbabit bukan sembarangan, mereka arif  dan boleh memformat semula cakera keras ATM yang digodam sekali gus boleh menghilang semua data hingga menyebabkan ATM tidak berfungsi. Langkah ini dilakukan bagi menghapuskan bukti jika tertangkap.

Rehan berkata, sindiket yang kini diburu polis itu mempunyai pengetahuan luas tentang ATM dan mereka cukup profesional ketika menjalankan kegiatan.

“Selagi ATM tidak dilengkapi perisian terkini, selagi itu ianya boleh dicerobohi dengan mudah dan mengakibatkan kerugian lebih besar,” katanya.