KUALA LUMPUR - Polis Perak hari ini menyangkal dakwaan dalam beberapa laman web kononnya 250 anggota polis dihantar ke Pulau Pinang berikutan insiden baling molotov cocktail ke arah sebuah gereja di George Town semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dalam catatan di laman Facebook Polis Perak berkata tiada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mahupun Ibu Pejabat Kontinjen Perak akan dihantar ke Pulau Pinang bagi apa-apa tujuan.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal melempar botol berisi bahan letupan itu dari luar pagar gereja di Lebuh Farquhar sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata polis telah mengambil keterangan daripada penjaga gereja yang menyaksikan kejadian itu. - Bernama