Thursday, 15 May 2014

ROMPIN – Seorang suri rumah tidak sangka tindakannya yang dikatakan terlupa memadam api dapur ketika hendak keluar rumah, nyaris menyebabkan dia dan keluarganya kehilangan tempat berteduh.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Kampung Sarang Tiong itu, Mass Azni Mat Nayan, 31 berkata, dia terlupa air dalam cerek yang sedang dimasaknya di atas dapur ketika hendak keluar ke Bandar Endau.

Menurutnya, ketika kejadian dia keluar sebentar ke Bandar Endau, bagaimanapun setibanya di sana, dia terkejut dan menggigil selepas seorang jiran menghubunginya dan memaklumkan bahawa rumahnya terbakar.

"Semua urusan saya di Bandar Endau dibatalkan dan saya terus bergegas pulang.

“Ketika tiba di rumah, saya lihat bahagian dapur rumah terbakar dan pihak bomba sedang berusaha memadamkan api,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ketika itu suaminya bekerja di jeti, dan dia bernasib baik kerana empat anak berada di rumah atuknya di Pekan.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada jiran-jiran yang membantu memadamkan api dan menyelamatkan barang-barang dalam rumah dan bersyukur 70 peratus rumahnya selamat daripada kebakaran itu.

“Nasib baik ada jiran yang sedar dan mereka cuba memadamkan api serta mengeluarkan barang-barang.

"Buat sementara waktu ini saya sekeluarga mungkin akan menumpang di rumah emak yang juga tinggal berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Razali Yazit, berkata, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin menerima panggilan sekitar jam 10.41 pagi dan seramai lima anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian sekitar jam 10.58 pagi namun api telah berjaya dikawal pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau.

“Hasil siasatan awal mendapati kira-kira 30 peratus rumah tersebut telah terbakar dengan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

"Ruang rumah yang terjejas adalah di bahagian ruang dapur yang melibatkan seunit mesin basuh, dapur, rak, sebahagian dinding dan juga pakaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment