Sunday, 4 May 2014

Kalau dah ‘jodoh’

Hampshire: Sepasang kembar dipertemukan semula selepas terpisah sejak mereka masih bayi 78 tahun lalu.
Pasangan Ann Hunt dan Elizabeth Hamel dilahirkan di Aldershot, Hampshire pada 1936 dan dianggap Buku Rekod Dunia Guinness sebagai kembar paling lama terpisah sebelum bertemu semula.
Adik-beradik itu dilahirkan tukang masak, Alice Lamb yang menjalin hubungan tanpa kahwin dengan seorang askar.

Lelaki terbabit tidak pernah bertemu dengan Ann dan Elizabeth kerana selepas dilahirkan Alice cuba memberi anaknya kepada orang lain bagi mengelakkan dipulau masyarakat.
Foto
ELIZABETH (kiri) teruja kerana bertemu semula dengan Ann selepas terpisah.

Bagaimanapun, sedikit kecacatan pada tulang belakang Elizabeth menyebabkan tiada siapa mahu menjadikannya anak angkat.

Keadaan itu menyebabkan Alice terpaksa menjaga sendiri Elizabeth.

Elizabeth kemudian berkahwin dengan lelaki AS dan berpindah ke Portland, Oregon.

Elizabeth berkata, dia memang tahu mempunyai saudara kembar yang lama terpisah tetapi sebaliknya Ann dimaklumkan perkara itu selepas “menggali” semula sejarah keluarganya dengan bantuan anak bongsunya, Samantha Stacey.

Selepas menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah hidupnya, Ann mengetahui dia mempunyai kakak di AS dua tahun lalu.

Samantha berkata, dia dan Ann berjaya mengesan Elizabeth.

“Apa yang menarik, saya bukan saja menemui kakak ibu, tetapi Ann ialah kembarnya,” katanya.

Pasangan kembar itu bertemu 1 Mei lalu di Los Angeles, setahun selepas pertama kali bercakap melalui telefon.

Sementara itu Ann berkata dia sangat terharu kerana dapat menemui kembarnya semula. 

“Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya kini. Ia bagaikan mimpi,” katanya. 

Pasangan kembar itu dijemput ke Los Angeles oleh seorang pakar psikologi, Dr Nancy Segal yang akan menjalankan ujian bagi mencari persamaan dan perbezaan mereka dalam sesi selama dua hari itu.

“Kami ingin mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan, kebolehan, minat mereka dan mengumpulkannya sebagai satu kajian kes yang penting kerana ia adalah rekod perpisahan pasangan kembar paling lama di dunia,” katanya.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04 492  27 Google +5  1  0

No comments:

Post a Comment