SEKINCHAN – “Saya tak tahu apa nak buat bila kunci pintu rumah tak jumpa, api di tingkat atas pula marak. Saya kena selamatkan adik yang terlantar, kalau mati pun biarlah berdua,” kata seorang warga emas, Kamariah Dahalan, 66, selepas rumah abangnya di Parit 10 Pasir Panjang, di sini, terbakar  lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 tengah malam itu, Kamariah bersama-sama adiknya, Sahid, 63, berada di tingkat bawah rumah, sementara kakak ipar mereka, Wangi Yah Juid, 70, di sebuah bilik di tingkat atas.

Kamariah berkata, kejadian kebakaran itu mengundang perasaan cemas dan trauma apabila dia tidak menemui kunci rumah meskipun sudah puas mencari.

“Tak dapat nak bayangkan bila kayu tingkat atas rumah yang terbakar jatuh ke arah kami. Saya hanya mampu menjerit untuk meminta bantuan jiran tetangga,” katanya.

Dia dan adiknya baru tinggal di rumah itu sejak lapan bulan lalu kerana Sahid menghidap penyakit kronik.

Mereka bernasib baik apabila salah seorang jiran sanggup bergadai nyawa menendang pintu rumah yang dihuni keluarga berkenaan.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, saya terus tarik tangan adik dan heretnya keluar memandangkan api makin meninggi,” katanya.

Wangi Yah pula berkata, kejadian itu disedarinya ketika dia masuk ke bilik tidur tingkat atas sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan pada suis elektrik di antara ruang dapur dan bilik.

“Sebelum terlelap saya dengar bunyi letupan, saya pun keluar.  Saya terkejut tengok suis elektrik terbakar, ada percikan api. Saya buka tingkap rumah dan jerit minta tolong,” katanya.

Dengan kekuatan yang ada, dia memanjat kerusi mengambil kunci rumah yang diletakkan di atas pintu.

“Sebaik melangkah ke pintu tangga, saya dengar orang kampung dah jerit, nek (nenek) keluar cepat nek, api dah merebak,” katanya.

Suaminya, Dolah, 76, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja.

“Saya dapat berita dari kawan yang datang ke tempat kerja suruh saya balik. Saya tak sangka rumah kami hangus,” katanya.

Menurutnya, segala dokumen penting dan barangan elektrik gagal diselamatkan dan anggaran kerugian dialami kira-kira RM250, 000.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.