ALOR SETAR - Wajahnya persis model, manakala susuk badannya menggiurkan, namun siapa sangka, si cantik Zara, 27, sebenarnya lelaki.

Sebelum itu, Zara ditemui bersama sembilan lagi mak nyah di tepi jalan port terkenal mereka, Lorong Kereta Api, dekat sini sambil menunggu pelanggan bernafsu songsang mendapatkan perkhidmatan mereka.

Dengan berpakaian ghairah, seksi dan menggoda, kebanyakan mak nyah dilihat tidak segan silu mendekati kenderaan pelanggan berhenti, malah ada juga yang sanggup membonceng motosikal untuk menarik perhatian.

Malah, tinjauan mendapati, ada mak nyah sedang asyik tawar-menawar harga, bagaimanapun gelagat terbabit bertukar kepada aksi kejar mengejar sebaik ketibaan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Bagaimanapun, Zara menafikan dirinya mencari pelanggan ketika diserbu, sebaliknya mendakwa sedang mengedarkan peralatan kondom untuk kegunaan semua mak nyah dan pelanggan mereka di kawasan tersebut.

“Zara sememangnya tak buat kerja dimaksudkan, sebab itu tak lari macam kebanyakan kawan lain. Zara bergerak di bawah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk membekalkan barang keperluan mereka semata-mata.

“Kawasan ini, hanya Zara dan kawan bertugas sebegini dengan pendapatan sekitar RM1,800. Zara edar sini, dia pula di Lorong Merpati. Namun, kami beri percuma kepada pelacur, pelanggan dan mak nyah,” katanya.

Apa yang menarik mengenai dirinya, Zara sanggup membelanjakan lebih RM5,000 semata-mata untuk membedah bahagian hidung di Singapura kira-kira empat tahun lepas.

“Zara hanya mahu cantik. Jadi, Zara tak buat pembedahan tukar alat sulit,” katanya.

Walaupun pernah dipikat lelaki tertentu, namun Zara tidak layan mahupun ambil kisah kerana dia tidak suka hubungan itu sebab dia hanya mahu cantik.

Malah, dia yang bekerja sebagai jurusolek sambilan di Jitra, dekat sini, mendakwa mula berpakaian sedemikian sejak tingkatan enam lagi, malah ahli keluarganya sedia maklum akan minatnya.

Bagaimanapun, katanya, ahli keluarga tidak putus-putus menasihati dirinya agar berwaspada dalam aktiviti seharian supaya tidak ditangkap pihak berkuasa, namun dia mengakui sudah ditahan sebanyak tiga kali setakat ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Ops Nyah, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas port mak nyah berusia lebih 50 tahun terbabit susulan pemeriksaan lewat malam yang dilakukan sehari sebelumnya.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang Jaik berkata, beliau dapati ramai mak nyah berkeliaran di kaki lima sebelum ini, malah tidak mengendahkan dirinya yang memakai kopiah ketika itu.

Katanya, dua lelaki berpakaian wanita ditahan beberapa penguatkuasa dalam serbuan jam 12 tengah malam semalam, manakala selebihnya bolos selepas melarikan diri.

Walaupun serbuan dilakukan penguatkuasa, aktiviti sedemikian dilihat tetap berjalan seperti biasa, namun katanya, pihaknya tidak akan berputus asa membendung kegiatan mak nyah dari semasa ke semasa.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988, manakala jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.