Tuesday 1 November 2016

Ada ramai yang bertanya kepada saya tentang kenaikan harga petrol, diesel sehingga 15 sen. Saya sertakan carta-carta seperti dibawah untuk sahabat-sahabat memahami proses mengira harga petrol dan diesel.

1) Harga petrol RON95 yang telah siap diproses mengikut harga pasaran yang didagangkan di Singapura (iaitu MOPS95)

Rujuk carta yang pertama. Laporan harga MOPS95 boleh diperolehi secara percuma di laman Australian Institute of Petroleum, cuma harganya di dalam Australian Dollar (AUD).

Harga purata bagi 4 minggu lepas adalah 52.1 cents (dalam Australian Dollar).

Tukarkan ini ke dalam Ringgit Malaysia (rujuk carta dibawahnya). Secara anggaran, kadar tukaran purata RM kepada AUD bagi Oktober ialah 3.19

2) Dapatkan harga RON95 pasaran (belum dimasukkan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan operator stesen minyak).

Harga RON95 pasaran yang didagangkan di Singapura =
52.1 cents X 3.19 = RM1.66 seliter RON95

3) Campurkan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan operator stesen minyak mengikut formula harga yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu 31 sen setiap liter RON95.

Maka, harga yang ditetapkan ialah:

RM1.66 + 31 sen = RM1.97 seliter

4) Adakah harga minyak mentah naik mendadak di pasaran dunia sehingga harga petrol dan diesel dinaikkan? Rujuk dua carta harga minyak mentah Brent. Pada awal bulan ia naik, kemudian ia turun di akhir bulan. Jadi sebenarnya harga minyak mentah kekal hampir sama.

5) Habis kenapa harga RON95, RON97 dan diesel naik? Rujuk carta kadar tukaran USD kepada RM. Oleh kerana harga RON95 yang didagangkan di Singapura (melalui MOPS95) adalah harga rujukan dan ia di dalam USD, maka kadar tukaran USD kepada RM memainkan peranan yang besar.

Sebenarnya yang mempengaruhi harga ialah nilai matawang RM yang lemah, bermula sekitar RM4.10 di awal Oktober kemudian semakin melemah sehingga RM4.20 di akhir Oktober. Akibat inilah maka apabila harga RON95 dari Singapura ditukarkan menjadi RM, harganya juga naik sebanyak sekitar 15 sen.

Kenapa RM lemah?

Tanyalah Najib Razak - ini contoh masalah kewangan seperti 1MDB mempunyai kesan langsung kepada rakyat!

Bantu saya "share" ini sebanyak mungkin agar rakyat yang lain dapat memahaminya juga.

No comments:

Post a Comment