Thursday, 28 July 2016

DUNIA HANYA PINJAMAN
Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman dan kehidupan yang kekal hanyalah Akhirat. Jika kita seorang yang taat perintah Allah pasti kejayaan yang akan diperolehi tetapi jika seorang yang ingkar perintah Allah, hidup bergelombang dosa dan maksiat, maka kesengsaraanlah yang akan menanti. Kerana itu kita perlu sedar jika kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa, bertaubatlah dengan segera. Jangan tunggu sehingga nyawa di kerongkong baru hendak bertaubat kerana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi.

Oleh itu amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagiannya sahaja. Kerjakanlah segala yang diperintahkan Allah meskipun berat, tinggalkan segala yang dilarang walaupun pada kebiasaannya maksiat dan dosa itu menjanjikan keindahan dan keseronokkan, yang akan mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan di akhirat kelak. Apakah dengan peringatan Allah tentang Hari Kiamat kelak kita masih belum mahu insaf dan sedar? Ingatlah bahawa penyesalan pada hari itu sudah tiada ertinya lagi. Oleh itu jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat, berpegang teguhlah kepada ajaran Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan dan pedoman bagi orang-orang yang bertakwa.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Takwiir ayat 26-29 tafsirnya :
"Dengan yang demikian, maka kemanakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatu pun. Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam".

Buatlah perhitungan ke atas diri kita sebelum kita diperhitungkan. Jangan lalai dan leka dengan keseronokkan dunia semata-mata. Beramallah sebelum terlambat dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah diri sendiri. Ingatlah hidup ini hanya sementara dan amal kebaikan sahaja yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita di Hari Kiamat kelak. Mudah-mudahan dengan demikian kita menjadi hamba Allah yang akan mendapat husnul khatimah (kesudahan yang baik) dan bukan suhul khatimah (kesudahan yang buruk). Amin Ya Rabbal'alamin.

No comments:

Post a Comment