Tuesday, 1 March 2016

Sebuah pertemuan bagi membincangkan program asas bagi 'menyelamatkan Malaysia' akan diadakan dalam masa terdekat, kata ketua pembangkang. Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata beliau akan bertemu dengan pimpinan Pakatan Harapan, parti-parti politik lain, NGO dan beberapa individu, bagi membincangkan panduan bersama dalam sebuah 'muafakat nasional'. Beliau juga berkata, dalam tempoh beberapa hari terakhir, telah tercipta sejarah apabila ramai pihak yang bersama Umno dan BN kini lantang bersuara menyatakan kesediaan bergerak secara muafakat untuk mereformasikan institusi-institusi di negara ini. “Sebagai ketua pembangkang parlimen Malaysia, dan memandangkan masalah kepimpinan serta skandal yang terus melanda negara tanpa henti, saya amat mengalu-alukan malah menggesa semua ahli parlimen tanpa mengira parti atau fahaman politik untuk bersama di dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya. Beliau mengingatkan kenyataan tokoh pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sistem negara sedia ada perlu ditukar, dan bukan sekadar perdana menterinya. “Maka semangat inilah yang perlu kita jiwai,” katanya. Gesaan reformasi Muhyiddin Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam respon selepas digantung daripada jawatan timbalan presiden Umno, menekankan perlunya reformasi institusi politik di negara ini. Politik dalaman Umno sekarang menjadi perhatian susulan terkeluarnya beberapa pemimpin kanannya yang kritikal terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak. Selain Muhyiddin (gambar), anak bekas perdana menteri Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga digantikan sebagai menteri besar Kedah. Mahathir meletakkan jawatan semalam setelah kritikan keras yang dilancarkan secara berterusan tidak berjaya menjatuhkan Najib daripada tampuk kuasa. Beberapa pemimpin pembangkang dilihat berada di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, tempat Mahathir mengumumkan hasratnya meninggalkan Umno semalam. Setakat ini masih tidak jelas sama ada pemimpin dan bekas pemimpin Umno akan terlibat dalam sebuah muafakat bersama pembangkang bagi memberi tekanan kepada Najib. 4 ARTIKEL BERKAITAN

No comments:

Post a Comment