Tuesday 1 March 2016

Dikemaskini 10 Dis 2015, tengahari 12:36 Berikut adalah teks ucapan penuh Presiden Umno, di perhimpunan agung Umno di PWTC pagi ini. 1. Pada pagi ini, 10 haribulan Disember 2015, bersamaan 28 haribulan Safar 1437 Hijriah, sekali lagi Allah-Hu Ta’ala, dengan izinNya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya. 2. Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,762 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Lahad Datu, Sabah. 3. Sehubungan itu, mari kita merakamkan ucapan tahniah setingginya kepada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selamat bersidang dengan jayanya. 4. Kepada Wanita, sepertimana diisytiharkan pada perhimpunan agung 2013, segala susah payah dan pengorbanan kaum Hawa dalam parti bertuah ini, selamanya akan diangkat, dan terus dimartabat, sebagai tulang belakang UMNO. 5. Kepada para Pemuda, mengambil sempena surah Al-Kahfi, saya mahukan seangkatan besar yang hebat lagi gagah berani, selaku waris perjuangan bangsa, rela berbakti, kerna, pada saudara-saudaralah dipertaruhkan harapan untung nasib keturunan kita. 6. Buat Puteri pula, dengan seri merah jambunya di sebalik selendang atau dalam kerudung, walau lasak dan gigih berjuang. 7. Semestinya, saudari-saudarilah harapan pertiwi, kematangan dan kebolehan semua, semakin hari semakin pula, tampak menyerlah. Saudara dan saudari, 8. Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta. 9. Ayuh, ayuh, kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran UMNO. 10. Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta’ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan. 11. Serentak itu juga, bagi pihak seluruh pengurusan parti keramat UMNO, kita rafakkan sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Kedah dan Diraja Johor, masing-masing atas kemangkatan almarhum-almarhum, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Mulia, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim. 12. Semoga rahmat tercucur di atas roh mereka… Al-Fatihah… Saudara dan saudari, 13. Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita, yang berhimpun, di sinilah rumah UMNO. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bahagian daripada UMNO, akan tetapi, kita adalah UMNO. 14. Kitalah tiang serinya, kitalah lantainya dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini. Saudara dan saudari, 15. Kata orang, alang-alang mahu berjuang walau langit turun menimpa meski bumi terbagi dua dengan cogankata Bersatu, Bersetiadan Berkhidmat, UMNO ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah, pertahankan bersama. 16. Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini, luar biasa. 17. Kerana, ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang. 18. Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan. 19. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada. 20. Walau bagaimanapun Alhamdulillah saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya. 21. Justeru, pada minggu-minggu yang lepas, dalam ikhtiar menyediakan ucapan selaku selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, dengan alim ulama, bagi mendapat pandangan serta nasihat. 22. Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran serta juga sifat istiqamah kepimpinan parti. 23. Lalunya, saya dipesan-pesan bagi memperingati satu sama lain, antara petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I’mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir, sebagai penutup surah Al-Baqarah. 24. Begitulah saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a’la Ali Saidina Muhammad. 25. Mudah-mudahan terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan, Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment