CHINA mengharamkan puasa bulan Ramadan di sebahagian wilayah-wilayahnya, di mana penduduk majoritinya adalah penganut agama Islam. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa kerajaan China begitu takut dengan rakyat yang menahan lapar dan dahaga? Bukankah rakyat yang menahan lapar dan dahaga itu dalam keadaan lemah dan tidak bermaya?

Hakikatnya ialah kerajaan China tahu bahawa puasa adalah kekuatan umat Islam kerana mereka faham, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia adalah revolusi dalaman umat Islam yang pasti akan menghasilkan revolusi luaran kalau tidak dibendung oleh kerajaan. Rakyat yang berpuasa ialah rakyat yang membina kekuatan dalaman dengan melatih jiwanya untuk tidak tunduk pada hawa nafsunya.

Rakyat yang berpuasa yang tidak tunduk pada nafsunya sendiri, sudah pasti tidak akan tunduk pada nafsu pemerintah yang zalim.

Kerajaan China gerun dengan kekuatan dalaman yang puasa lahirkan. Meriam dan kereta kebal tidak mampu melawan kekuatan dalaman yang luar biasa ini.

Perang pertama umat Islam ialah Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan di mana jumlah tentera musuh Islam adalah empat kali ganda lebih daripada jumlah tentera Nabi Muhammad yang tidak mempunyai senjata canggih. Umat Islam mencapai kemenangan besar.

Tetapi yang menjadikan puasa itu satu perisai hebat adalah bukan sekadar umat Islam wajib berpuasa dalam bulan Ramadan, tetapi juga kerana berpuasa itu mengambil kira apa yang dikatakan ‘rukhsah’, iaitu terdapat keadaan-keadaan di mana seorang Muslim tidak wajib lagi berpuasa di bulan Ramadan. Ramai agamawan membicarakan tentang kehebatan berpuasa seolah-olah mereka yang berbuka puasa dalam keadaan-keadaan tertentu dianggap sebagai lemah, bersalah, hatta penjenayah dan cacat keimanan!

Islam menonjolkan dirinya sebagai agama yang membela hak fitrah manusia. Logiknya mudah. Tuhan cipta manusia, maka mestilah Tuhan kenal fitrah manusia. Salah satu indikator kebenaran agama ialah ia tidak melanggar fitrah manusia. Agama yang palsu akan memberi ajaran yang melanggar hak fitrah manusia ini.

Contoh hak fitrah manusia ialah membela keturunan. Kalau satu agama tertentu menyuruh manusia supaya terus berpuasa dan tidak berkahwin, maka agama ini menceroboh hak fitrah manusia dari segi keturunannya. Ini bukan agama sebenar dari Tuhan.

Islam adalah agama fitrah atau dalam bahasa Arabnya, Diinul Fitrah. Yang menjadi puasa itu begitu hebat dan bersifat revolusi ialah kerana puasa menurut Islam itu bukan sebarang puasa. Ia adalah puasa yang memartabatkan hak fitrah manusia. Puasa yang tidak serasi dengan hak fitrah manusia akan dibenci dan amalannya tidak akan mampu memperkasakan pengamalnya.

Jika agama tetap memaksa perempuan yang dalam haid itu berpuasa walaupun kehilangan darah yang begitu banyak, ini adalah agama yang tidak membela nyawa dan kehidupan manusia. Ini adalah agama yang meragut roh kemanusiaan, bukan memperkasakan. Ini agama palsu.

Maka, Islam mengharamkan wanita sedang haid untuk berpuasa. Kita lihat dalam masyarakat, perempuan yang dalam haid malu pergi beli makanan bungkus di kedai-kedai makan. Kita yang faham Islam sebagai agama fitrah perlu membeli makanan untuk wanita yang sedang haid pada waktu pejabat kalau mereka malu dan memaksa mereka makan dalam pejabat di hadapan kita!

Mengapa malu menonjolkan Islam sebagai agama fitrah tetapi tidak malu menonjolkan Islam sebagai agama yang menyusahkan hidup manusia seperti cuci darah jika termakan babi!? Hakikatnya, Islam tidak menyuruh cuci darah pun!

Supaya puasa kita mempunyai roh Badar yang hebat, kita perlu faham puasa dalam erti kata yang sebenar, termasuk memahami kehebatan rukhsahnya. Semasa bermusafir, ada sahabat yang terus berpuasa dan ada yang tidak berpuasa. Nabi tidak menghina sahabat yang tidak berpuasa kerana yang berpuasa dan yang tidak berpuasa dalam keadaan musafir adalah sama-sama hebat! Islam agama fitrah.

* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak