ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pendang Kampung Gerigis, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam selepas hampir 20 jam dilaporkan hilang.

Mayat Mohd Shukri Matt Isa, 38, mulai kelihatan berhampiran lokasi terakhir mangsa dilihat saksi sejurus laungan azan dan bacaan Yasin dilakukan seluruh ahli keluarganya di pinggir sungai.

Keadaan sungai yang lebar sedikit sebanyak menyulitkan operasi, namun kira-kira jam 12.30 tengah hari, lokasi mangsa mula dikenal pasti selepas tubuhnya dipercayai terkena jala seorang penduduk kampung yang turut sama membantu mangsa.

Turut difahamkan, sewaktu mayat Mohd Shukri dinaikkan beberapa anggota bomba berhampiran lokasi kejadian lemas berkenaan, kedua belah tangannya dalam keadaan kiam seolah-olah dalam solat.