Tuesday 26 September 2017

'Genggaman terakhir sahabat sejati...'

"SELEPAS saya selamat keluar, saya tarik tangan dia tapi dia lepaskan genggaman," kata Adib Baqir Mohd Khalid, 14, mangsa terakhir yang terselamat dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.  Adib berkata, rakan karibnya, Muhammad Danieal Md Amin, 14, adalah individu yang membantunya untuk keluar dari kawasan kebakaran berkenaan melalui bingkai tingkap yang dipecahkan.Menurutnya, Muhammad Danieal mendesaknya untuk keluar dahulu dari kawasan itu namun dia tidak berjaya menyelamatkan diri.  "Ketika saya keluar, dia masih ada di belakang saya. Kemudian saya cuba tarik dia keluar tetapi dia sudah tidak bermaya lalu melepaskan genggaman tangan saya.  "Saya masih terbayang lagi situasi itu. Sangat sedih dan teringat pada Danieal kerana dia antara yang paling rapat dengan saya," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida dengan keluarga mangsa kebakaran di Surau Ittifaqiyah.  Menurut Adib, meskipun terselamat namun tapak tangan, lengan, siku dan bahagian belakang badannya melecur sebelum menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).  "Sehingga kini saya tidak dapat melupakan tragedi itu, namun saya tetap akan meneruskan pengajian agama di pusat tahfiz ini (Darul Quran Ittifaqiyah).  "Biarpun baru sebulan lebih berada di tahfiz ini, saya dengan arwah (Danieal) sangat rapat. Genggaman terakhirnya saya ingat sampai bila-bila," katanya yang dibenarkan keluar dari HKL pada 18 September lalu.  Ibunya, Siti Wahidah Ramli, 49, berkata, ketika kejadian Adib dan beberapa rakan lain berjaya memecahkan bingkai tingkap sebelum rakan-rakannya menyelamatkan diri.  Katanya, apabila giliran Danieal untuk keluar, Danieal menyuruh Adib untuk keluar dahulu, namun Danieal gagal menyelamatkan diri.  "Allah lebih sayangkan Danieal dan panjangkan usia Adib. Adib juga bernasib baik selepas bertindak awal empat minit awal menyelamatkan diri dengan keluar daripada bingkai tingkap dan turun melalui batang paip.  "Ketika kejadian itu, saya sudah tidak tentu arah memikirkan keadaan anak saya, namun lega selepas terima panggilan daripada HKL mengatakan anak saya antara yang terselamat daripada kejadian," katanya.  Adib Baqir adalah salah seorang daripada tujuh pelajar tahfiz yang terselamat dalam kebakaran mengorbankan 21 penuntut dan dua warden pusat itu pada 14 September lalu.  Seorang lagi pelajar terselamat, Muhammad Syamim Che Azmi, 18, berkata, dia masih belum bersedia untuk menceritakan apa-apa berkaitan kejadian itu kerana masih trauma.  "Biarlah apa yang berlaku menjadi peristiwa hitam dalam hidup saya. Tiga tahun saya belajar di tahfiz ini, saya rapat dengan semua pelajar. Saya sedih dengan apa yang berlaku.  "Saya tidak pasti lagi akan menyambung pengajian di tahfiz ini atau tidak. Namun saya tetap akan habiskan pengajian agama yang sudah saya belajar," katanya yang cedera di lengan dan telinga akibat melecur.

No comments:

Post a Comment