Tuesday 12 January 2016

Setelah menyemak beberapa kitab-kitab ulama 4 mazhab, saya dapati pandangan yang tepat dan kuat ialah perbuatan ini dilarang. Saya nukilkan pandangan 4 mazhab berkenaan isu ini:

1. Mazhab Hanafi: al-Sarakhsi berkata:
إذا وقع في إقامته فمات أو أغمي عليه فأحب إلي أن يبتدئ الإقامة غيره من أولها لأن عمله قد انقطع بالموت ولا بناء على المنقطع

Maksudnya: Apabila muazzin jatuh ketika iqamahnya lalu mati atau pengsan saya lebih suka orang lain (yang menggantikannya) untuk memulakan semula iqamahnya dari awal kerana amalan muazzin awal telah terputus dengan kematian dan tidak boleh menyambung amalan yang terputus. (Rujuk: al-Mabsuth, jld. 1, hlm. 139)

2. Mazhab Maliki: Ibn Rusyd menyatakan:

لم يجز لمن أذن بعض أذانه أن يستخلف على بقيته...ووجب إذا قطع المؤذن الأذان من أجل رعافه ، أن يستأنف رجل آخر الأذان من أوله ، ولا يبني على أن أذان الراعف

Maksudnya: Tidak dibenarkan bagi muazzin yang azan separuh (kerana berdarah hidungnya secara tiba-tiba) untuk memanggil orang lain menggantikannya (bagi menyambung azannya) yang masih berbaki...dan apabila muazzin memberhentikan azannya kerana berdarah hidung maka wajib ke atas lelaki lain untuk memulakan semula azan (dari awal) dan dia tidak boleh menyambung di mana muazzin tadi berhenti. (Rujuk: al-Bayan wa al-Tahsil, jld. 2, hlm. 127)

- Ini menunjukkan seseorang perlu azan secara sempurna. Jika tidak orang perlu mulakan azan yang baru. Tidak boleh berduet.

3. Mazhab Syafie: Kata Ibn Hajar al-Haitami:

ومنه ما يقع من المؤذنين حال اشتراكهم في الأذان من تقطيع كلمات الأذان بحيث يذكر واحد بعض الكلمات وغيره باقيها وينبغي حرمة ذلك ؛ لأنه تعاط لعبادة فاسدة

Maksudnya: Dan (yang dilarang juga) apa yang berlaku dari beberapa muazzin ketika mereka berduet dalam azan dengan memotong-motong kalimah azan seperti seorang menyebut beberapa perkataan dalam azan dan orang lain menyebut bakinya. Seeloknya diharamkan perkara ini kerana ia bekerjasama dalam ibadah yang rosak. (Rujuk: Tuhfat al-Muhtaj, jld. 1, hlm. 470)

4. Mazhab Hanbali:

وليس للرجل أن يبني على أذان غيره لانها عبادة بدنية فلا تصح من شخصين كالصلاة.

Maksudnya: Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk menyambung azan orang lain kerana azan adalah ibadah tubuh badan yang tidak boleh dilakukan oleh dua orang seperti solat. (Rujuk: al-Syarh al-Kabir, jld. 1, hlm. 407)

Pandangan ini juga disokong oleh ulama terkemuka hari ini iaitu:

1. Syeikh Wahbah al-Zuhaili dengan katanya:

فلو أذن مؤذن ببعضه، ثم أتمه غيره لم يصح، كما لايصح إذا تناوبه اثنان بحيث يأتي كل واحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر؛ لأن الأذان عبادة بدنية، فلا يصح من شخصين يبني أحدهما على الآخر.

Maksudnya: Jika seorang muazzin melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyambungnya sehingga sempurna azan itu tidak sah. Begitu juga tidak sah apabila dua muazzin berganti-ganti dalam azan seperti setiap seorang dari mereka melaungkan sepotong ayat (dari azan) yang tidak dilaungkan oleh muazzin yang seorang lagi (berduet) kerana azan adalah ibadah tubuh badan maka tidak sah dilakukan oleh dua orang yang mana salah seorang menyambung azan orang lain. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jld. 1, hlm. 699)

2. Pengarang kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah (Tambahan)

بقي من شرائط الأذان المتفق عليها أن يأتي به شخص واحد فلو أذن مؤذن ببعضه ثم أتمه غيره لم يصح كما لا يصح إذا تناوبه اثنان أو أكثر بحيث يأتي كلواحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر وقد يسمي ذلك بعضهم بأذان الجوق أو الأذان السلطاني وهو جهل ومن فعله فقد أبطل سنة الأذان نعم إذا أتى به اثنان أو أكثر بحيث يعيد كل واحد ما نطق به الآخر بدون تحريف وبذلك يؤذن كل واحد منهم أذانا كاملا فإنه يصح وتحصل به سنة الأذان

Maksudnya: Yang masih tinggal dari syarat-syarat azan yang disepakati ialah azan dilaungkan oleh seorang individu. Jika seorang melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyempurnakannya tidak sah sepertimana tidak sahnya dua orang atau lebih yang berganti-ganti seperti seorang melaungkan satu ayat (dari azan) yang tidak disebut oleh orang lain. Perbuatan ini dinamakan juga oleh sebahagian orng sebagai azan al-Jauq atau azan sultani. Ia adalah satu kejahilan. Sesiapa yang melakukannya telah membatalkan sunnah azan. Ya jika jika azan dilaungkan oleh dua orang tetapi keduanya mengulangi apa yang disebut oleh muazzin yang seorang lagi tanpa menyeleweng dengan (kata lain) setiap orang dari mereka melaungkan azan dengan sempurna maka ia sah dan melaksanakan sunnah azan. (Rujuk: al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah, jld. 1, hlm. 461)

* Saya menganggap bahawa muazzin ini berniat baik untuk bekerjasama dalam perkara kebaikan tetapi mereka tersilap. Ibadah perlu terikat dengan disiplin. Tidak dinafikan azan mereka merdu cuma cara mereka salah. Harap dapat diperbetulkan selepas ini. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment