Sanggup mengaku ibu saudara elak dicekup
30 Januari 2016
ALOR SETAR - Seorang janda beranak tiga sanggup mengaku sebagai ibu saudara kepada pasangannya gara-gara tidak mahu dicekup penguat kuasa, dalam serbuan di hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, awal pagi, semalam.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), lelaki berusia 27 tahun membuka pintu, manakala wanita berusia 40 tahun berkenaan di bilik air.
Bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Undang-undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, mereka mengaku memiliki hubungan anak buah dan ibu saudara.
“Akan tetapi, melalui siasatan dilakukan penguat kuasa Jaik mendapati wanita dan lelaki berkenaan sebenarnya tidak memiliki hubungan persaudaraan ataupun sebarang ikatan sah.
“Wanita yang bekerja di sebuah kedai makan berkenaan memaklumkan dia sudah lama berpisah dengan suami, manakala anak-anaknya tinggal bersama tuan rumah ketika dia bekerja,” katanya.
Menurutnya, wanita berkenaan memberikan alasan menginap di hotel bersama lelaki yang bekerja sendiri itu semata-mata mahu berehat selepas selesai kerja.
Sementara itu, katanya, seorang pelajar sebuah kolej di Alor Setar sanggup bersembunyi di bawah meja solek bagi mengelak dari dikesan penguat kuasa Jaik dalam pemeriksaan di sebuah bilik di hotel sama.
Roshidi berkata, wanita berusia 21 tahun dari Terengganu dan lelaki dari Selangor berusia 23 tahun mendakwa menginap di hotel berkenaan untuk melakukan tugasan.
Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Alor Setar untuk laporan tangkapan berkenaan, sebelum pasangan berkenaan dibawa ke Pejabat Jaik untuk diambil keterangan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.
No comments:
Post a Comment