Kuih bakar tradisional
Meskipun dibanjiri pelbagai kuih moden seperti donut, wafel dan tat, ada di antara kita masih mencari atau menggemari kuih tradisional seperti kuih kemboja.
Kuih kemboja atau lebih dikenali sebagai kuih bakar mempunyai keistimewaan tersendiri jika si pembuatnya mengekalkan kaedah tradisional sewaktu melakukan proses pembakaran.
Pengusaha kuih bakar, Siti Hasnah Rawi, 71, berkata, kuih tradisional itu memang sukar dicari, apatah lagi pada zaman teknologi moden ini.
“Kini, ramai membakar menggunakan ketukar gelombang mikro berbanding arang yang dikatakan mengambil masa lama selain agak renyah.
“Malah, kuih bakar di pasaran terutama di sekitar ibu kota mempunyai rasa seperti kuih bingka apatah lagi mereka meletak bijan di atasnya,” katanya.
Bagi mengekalkan rasa dan bau pandan asli, Hasnah atau mesra dengan panggilan Zainab menggunakan daun pandan tanpa meletakkan setitik pun ekstrak tumbuhan itu.
Katanya, kuih bakar daripada tepung, gula, telur, santan dan air daun pandan antara juadah tradisional yang mudah diadun dan dimasak jika mengetahui rahsia serta teknik yang betul.
“Untuk membakar, ia memerlukan beberapa bahan bakar seperti api, pasir dan arang. Pasir akan diletak di atas kuali leper, kemudian arang di atas penutup pembakar.
“Setelah meletak minyak di dalam pembakar daripada tembaga berbentuk bunga itu, baru saya meletak adunannya,” katanya.
Sewaktu proses pembakaran, arang perlu dikipaskan agar memberikan api berterusan.
Menurutnya, jika adunan dimasukkan sebelum minyak mencapai tahap kepanasan diinginkan, kuih terhasil tidak akan secantik seperti kebiasaan.
Bagi menghasilkan kuih bakar yang enak dan rangup, ia memerlukan jagaan rapi selama tujuh hingga lapan minit.
“Anda boleh tahu kuih bakar itu masak atau tidak dengan melihat ia merekah dan hijau kekuningan.
“Walaupun membakar menggunakan arang memerlukan fokus dan masa, ia berbaloi malah memberi kepuasan,” katanya.
Tidak seperti kuih bakar lain, kuih tradisional yang dihasilkan Zainab kelihatan bersarang di permukaan atas dan di dalam.
Dia yang menjalankan perniagaan kuih bakar sejak 1980-an menggunakan resipi yang diberikan rakannya dari Selayang sehingga menjadi sebutan penggemar kuih tradisional itu.
Dia yang boleh dihubungi di talian 017-3448836 mengakui kuih bakar itu boleh tahan selama tiga minggu.
Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:20 PM
No comments:
Post a Comment