ALOR SETAR - Sebanyak 49 buah rumah di tiga kawasan perumahan sekitar bandar raya ini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian awal pagi tadi.
  
Kejadian jam 3 pagi itu mengakibatkan 179 menjadi mangsa, melibatkan 22 rumah di Kampung Alor Mengkudu Dalam, 22 rumah di Taman Budiman dan lima buah rumah di Taman Gunung Bongsu dalam daerah Kota Setar.
  
Seorang mangsa, Che Som Abu Seman, 61, dari Kampung Alor Mengkudu Dalam berkata, ketika kejadian dia berada di ruang solat berhampiran dapur semasa bersiap-sedia menunaikan solat sunat tahajud.
  
Katanya dia terdengar bunyi angin kuat yang mengangkat keseluruhan bumbung rumah pusaka lebih 60 tahun itu dalam sekelip mata.
  
"Masa tu saya dan anak perempuan ada dalam rumah. Masa kejadian mak cik kaku dan hanya duduk atas tikar sembahyang sahaja sehingga anak panggil untuk keluar bagi selamatkan diri," kata Che Som ketika ditemui di sini, hari ini.
  
Ibu tunggal empat anak itu bersyukur kerana beliau dan anak perempuannya terselamat, tetapi buntu memikirkan soal tempat tinggal untuk cucunya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
  
Che Som yang turut membuat kuih raya berkata kesemua kuih raya tradisional yang dibuatnya sebelum ini selamat kerana telah dibungkus dengan baik dan tidak rosak selepas terkena air hujan.
  
Seorang lagi mangsa, Siti Mariam Abd Rahman, 58, berkata mereka sekeluarga tidak sempat bersahur awal pagi tadi selepas makanan dilimpahi air hujan selepas bumbung rumah mereka di bahagian dapur rosak teruk akibat ribut.
  
Dia berkata, dua anak perempuannya berumur 25 dan 28 tahun yang tidur dalam bilik atas rumah hampir terperangkap dan terkena serpihan bumbung ketika kejadian itu berlaku.
  
Katanya, mereka sekeluarga tidak akan berpindah dan tetap tinggal di rumah itu walaupun dalam keadaan basah selepas hujan lebat turun sehingga bumbung rumah mereka dibaiki semula.
  
"Kami harap pihak bertanggungjawab akan menyegerakan proses membaiki bumbung rumah yang terjejas sebelum kedatangan Aidilfitri. Kami harap dapat sambut Aidilfitri dengan sempurna," katanya. - Bernama