KUALA LUMPUR: Jiran bekas penyewa sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong di sini, yang dipercayai membunuh seorang kanak-kanak, mendakwa sering mendengar lelaki terbabit memukul anak-anaknya, sebelum menghilangkan diri bersama keluarganya sejak sebulan lepas.
Jirannya, Ten Heen, 64, berkata beliau tidak berdaya untuk berbuat apa-apa apabila sering mendengar anak-anak penyewa itu menjerit kesakitan akibat dipukul oleh bapa mereka.
"Saya sering melihat tiga dari empat anaknya balik dari sekolah, namun kesemua anaknya termasuk ibu bapa mereka tidak pernah bertegur sapa dengan jiran-jiran termasuk saya," katanya kepada Bernama.
Ten berkata beliau sering terserempak dengan penyewa rumah itu yang kelihatan sangat bengis dan sentiasa mengelak daripada bertembung dengan jiran.
"Walaupun hampir lapan bulan mereka menyewa di sini, saya langsung tidak mengenali keluarga itu," katanya yang sudah lama tinggal di kawasan perumahan tersebut.
"Abang ipar saya yang juga pemilik rumah itu, pernah memberitahu saya bahawa keluarga itu akan berpindah pada bulan hadapan," katanya.
BACA: Bekas penyewa diburu susulan penemuan mayat disimen di lantai dapur
Ten berkata kira-kira sebulan lepas, dia ada terdengar bunyi orang menggerudi di bahagian dapur rumah itu namun tidak mengendahkannya kerana menganggap itu perkara biasa.
"Menurut abang ipar saya yang merupakan pemilik rumah itu, penyewa itu hendak membaiki tandasnya yang rosak.
"Setelah penyewa itu melarikan diri, abang ipar saya membuat pemeriksaan di rumah itu dan mendapati ada tubuh yang dibalut dengan plastik di dalam lubang yang telah disimen," katanya.
Seorang lagi jiran, Azizan Shafie, 63, menyifatkan penyewa yang tinggal berhadapan rumahnya itu berperangai pelik dan mencurigakan.
"Apabila dia (penyewa) tiba di rumahnya, dia tidak terus memarkirkan kereta jenis Nissan Almeranya, sebaliknya akan mengelilingi kawasan taman itu beberapa kali bagi mengelak dirinya dikenali oleh jiran.
"Dia juga mempunyai tatu berwarna pada bahagian lengannya," kata Azizan.
Azizan berkata isteri penyewa itu juga sering dilihat menghisap rokok di halaman rumah, namun tidak pernah menegur jiran-jiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad hari ini mengesahkan mayat itu dipercayai seorang kanak-kanak lelaki berumur antara lapan dan 10 tahun dan tempoh kematian mangsa kira-kira lapan minggu lepas.
Sehubungan itu, polis sedang menjejaki lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung penemuan satu mayat yang disimen dan mereput di lantai dapur rumah itu, semalam.
Mayat itu ditemui susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan memecahkan simen dapur itu berikutan terhidu bau busuk.
No comments:
Post a Comment