Wednesday, 15 October 2014
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjalin kerjasama dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) bagi membantu vendor kenderaan tempatan meningkatkan kecekapan menerusi teknologi, pengurusan kos dan merancang produktiviti mengikut standard global.
Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, menerusi kerjasama itu Perodua menyediakan kemudahan dana RM260 juta bagi meningkatkan kebolehan vendor.
“MAI akan menilai kertas cadangan perniagaan vendor sama ada layak menerima dana itu,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu yang dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI Madani Sahari di Kuala Lumpur.
Aminar berkata, perjanjian itu adalah contoh kerjasama bijak antara kerajaan dan sektor korporat untuk terus mengukuhkan industri automotif negara.
Menurutnya, Perodua juga akan memperuntukkan dana kepada pengedar kereta untuk meningkatkan prestasi jualan dan servis, indeks kepuasan jualan dan indeks kepuasan pengguna.
“Ia akan dilakukan menerusi program pembangunan modal insan, kempen promosi strategik dan pembelian barangan terpilih serta peralatan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, model baharu Perodua yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini adalah dalam kategori kenderaan cekap tenaga dan layak menerima insentif di bawah Dasar Automotif Negara.
No comments:
Post a Comment