Pendarahan yang berlaku selalunya akan diakhiri dengan darah segar, kadangkala berketul seperti haid dalam kalangan wanita. Pesakit akan mengatakan mereka ke tandas untuk membuang air besar, tetapi yang keluar adalah darah segar, tiada najis. Kadangkala pesakit mengadu selalu sembelit untuk ke tandas.
Kanser usus pula adalah kanser ketiga tertinggi dalam kalangan pesakit di Malaysia. Tanda awal ialah berak berdarah yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan sewaktu membuang najis. Darah akan bercampur dengan najis.
Polip pula adalah ketumbuhan daging yang terdapat di sepanjang usus. Pendarahan yang berlaku bergantung kepada lokasi polip. Semakin dekat dengan dubur, semakin merah segar darah yang mengalir. Sesetengah polip adalah ketumbuhan yang berpotensi untuk menjadi kanser.
Keradangan usus atau proctitis secara amnya berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman. Pesakit akan mengadu cirit bercampur dengan darah atau najis yang lembut diselaputi darah.
Selain itu, beberapa jenis ubat boleh menyebabkan pendarahan seperti ubat pencair darah seperti warfarin dan aspirin.
Selain warna, kuantiti darah juga boleh menentukan tahap penyakit atau masalah seseorang. Biasanya pendarahan rektum sederhana dikategorikan apabila banyak darah keluar setiap kali buang air besar.
Jika kuantiti ini lebih banyak, bermakna pendarahan sudah berada pada tahap serius. Kesan daripada pendarahan yang serius boleh menyebabkan pesakit berasa lesu, pening atau pitam. Kadangkala pesakit juga boleh mengalami tekanan darah rendah terutama apabila berdiri selepas lama duduk di tandas.
Malah jika berterusan, pesakit boleh mengalami pendarahan yang banyak dan pada masa sama, kurang darah merah. Kesannya, badan akan cepat letih, mudah mendapat serangan jantung dan kaki membengkak.
Rawatan
Berak berdarah disebabkan buasir boleh dirawat menerusi ubat-ubatan sekiranya buasir berada pada peringkat awal. Apabila memasuki peringkat serius (buasir menjulur keluar dari dubur), ia harus dirawat melalui kaedah pembedahan.
Bagaimanapun, jika penyakit disahkan sebagai kanser usus, maka anda harus menjalani pembedahan major sebelum dibantu oleh rawatan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi.
“Seharusnya pesakit terus berjumpa doktor atau pakar gastroenterologi serta-merta. Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor mengesan punca yang menyebabkan pendarahan. Ini sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih,” katanya.
Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini apabila ada individu yang mengalami pendarahan najis dalam kuantiti yang sedikit, tetapi masih tidak merujuk kepada doktor. Kelewatan bertemu pakar boleh menyebabkan masalah lebih rumit.
Kini, terdapat pelbagai kaedah rawatan bagi mengesan punca usus berdarah. Antaranya pemeriksaan melalui endoskopi, kolonoskopi atau sigmoidoskopi yang berfungsi untuk mencari punca pendarahan di dalam najis. Jika pendarahan hitam dan puncanya dijangka dari perut atau usus kecil, maka endoskopi atas akan dilakukan melalui mulut.
Endoskopi adalah satu alat berbentuk tiub berkamera di hujungnya dalam diameter 1.5 sentimeter bagi membolehkan doktor pakar melihat ke dalam usus besar dengan lebih jelas.
Ujian ini membolehkan punca pendarahan dikenal pasti sehingga ke tahap paling kecil dan bersambung ke usus kecil. Untuk kolonoskopi dan sigmoidoskopi, rawatan susulan bergantung kepada laporan kolonoskopi atau sigmoidoskopi.
Selain daripada ujian endoskopi, darah pesakit juga akan diperiksa untuk membantu rawatan susulan dalam mendapatkan diagnosis.
Prosedur kolonoskopi dalam usus besar
Prosedur ini memerlukan persediaan sekurang-kurangnya dua hari. Pesakit dinasihatkan mengurangkan pengambilan bahan makanan berserat seperti sayur, buah-buahan, daging dan bahan tenusu. Sehari sebelum prosedur, pesakit dibenarkan makan sehingga jam lima petang. Selepas itu, pesakit dinasihatkan hanya mengambil minuman seperti sup kosong sehingga tengah malam.
Mereka diberi ubat minum bersama sekurang-kurangnya seliter air suam, biasanya pada jam 7 dan 9 malam untuk mencuci usus daripada segala najis. Keesokannya, prosedur selalunya dilakukan pada waktu pagi.
Pesakit selalunya diberikan ubat tidur yang juga berfungsi sebagai ubat tahan sakit secara suntikan sebelum prosedur. Prosedur ini boleh mengambil masa 15 minit sehingga 30 minit. Jika tidak, ia sukar melalui keseluruhan rektum dan usus besar.
Pesakit mungkin rasa kurang selesa dan sedikit sakit kerana prosedur ini perlu memasukkan udara ke dalam usus untuk mendapat pandangan dinding usus yang jelas.
Prosedur kolonoskopi boleh memberi gambaran penyakit melalui pandangan visual bahagian dalam usus besar dan rektum serta menolong memperoleh spesimen (biopsi) untuk pengesahan makmal patologi.
Kolonoskopi juga boleh memainkan peranan terapeutik seperti membuang ketumbuhan kecil seperti polip dan membolehkan suntikan ubat terhadap kawasan usus besar atau rektum yang sedang mengalami pendarahan.
Pemakanan
Oleh kerana punca utama masalah usus berdarah disebabkan najis keras apabila bergesel dengan dinding usus, maka ia berkait rapat dengan pemakanan seimbang. Oleh itu, pesakit dinasihatkan perlu mengambil makanan seimbang bagi melancarkan proses perkumuhan.
Antara diet pemakanan yang disyorkan adalah mengurangkan makanan pedas, melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam-ulaman kampung di samping memperbanyakkan minum air kosong serta melebihkan makanan mengandungi karbohidrat yang tidak melalui pemprosesan lanjut seperti beras perang dan roti mil penuh. Paling penting, lakukan senaman setiap hari untuk kekal sihat dan cergas. - See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesanawalpuncaususberdarah/Article#sthash.CQVlth5C.dpuf
No comments:
Post a Comment