Sunday, 7 May 2017

Mi’raj Islamic News Agency (MINA)
Kuala Lumpur: ‘Bak lantunan anak dari syurga’. Itu ungkapan istimewa diberikan media Indonesia terhadap Jerico Sukotjo, 12, kanak-kanak autisme dari Banten, Indonesia yang video dia mengalunkan azan ‘viral’ di seluruh dunia.

Walaupun autisme, kanak-kanak itu membuktikan kelebihannya berbanding kita yang normal ini.

Kata-kata pujian, kagum dan sebak antara reaksi yang diberikan selepas mendengar alunan azan kanak-kanak itu.

Jerico dilahirkan pada 14 Julai 2004 di Jepara, Jawa Tengah. Bapanya, Sukotjo Suripto, 49, bekerja sebagai pemandu, manakala ibunya, Munahdiro, 43, suri rumah dan dia mempunyai empat adik-beradik.

Ketika ini, Jerico bersekolah di sekolah kelolaan persatuan autisme di Jalan Bunga Raya 1 Blok A1 No.18 Perumahan Griya Sangiang Mas, Kelurahan Gebang Raya, Kecamatan Priuk, Kota Tangerang, Banten, Indonesia.

Kasih sayang daripada ibu bapa, ahli keluarga, guru dan penduduk setempat nyata menjadikan Jerico kanak-kanak yang tabah dan ceria.

Tinggal bersebelahan dengan sekolah pondok dan masjid membuatkan kanak-kanak itu setiap hari mendengar azan dan alunan ayat suci al-Quran.

Menurut Sukotjo, anaknya itu sering mengulang kembali apa yang didengarinya sehinggalah mampu mengalunkan azan dan ayat suci al-Quran.

Katanya, anaknya mampu membaca surah Yasin dan beberapa surah dalam al-Quran dengan lancar.

“Jerico sering ke masjid di depan rumah seawal usianya dua tahun. Jika ke masjid dia akan mengalunkan azan,” katanya.

Sukotjo berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sehingga kini adalah Jerico pernah hilang selama 14 jam.


“Saya gelisah dan bimbang ketika itu. Saya dan penduduk kampung puas mencarinya dan akhirnya dia ditemui bermain bersama anggota polis di balai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 2:32 PM

No comments:

Post a Comment