Thursday, 11 May 2017

"Abang Kandung Saya Pernah Cuba Mencabul Saya,Apabila Diadukan Pada Emak, Mak Marah Saya, Mak Kata Saya Bodoh Lalu Mak Suruh Saya Lupakan Sahaja"..



Assalamualaikum. Terpanggil untuk berkongsi kisah mak lepas baca confession sebelum ni pasal sikap mak. Disini saya cuma nak minta pendapat mahupun kata semangat dari yang lain. Andai ada yg ingin mengkritik, menegur, saya terima dengan positif.Saya gelarkan nama saya N.Berusia 26 tahun. Bekerja syarikat swasta, anak perempuan tunggal, tinggal bersama ibubapa, si gadis yang biasa-biasa saja.





Seperti saya tulis tadi, saya anak perempuan tunggal. Tetapi, Saya tidak dimanjakan dengan kasih sayang dari kedua orang tua saya. Dari kecil, saya diajar membuat segala jenis kerja rumah dari seawal usia 5 tahun. Bayangkan umur 7 tahun saya sudah disuruh mengosok baju sekolah sendiri dan membuat kerja rumah.



Saya mempunyai 2 orang abang. Kedua-dua mereka sangatlah disayangi, dimanjakan dan ditatang minyak yang penuh. Ye sangat penuh. You name it. Nak apa, dapat. Pasti dipenuhi. Bukanlah mendengki, atau iri hati. Tapi kekadang masa kecil tu selalulah rasa cemburu tengok abang-abang saya dipenuhi segala kehendak mereka.



Dari kecil saya memang kurang kasih sayang dari kedua ibu bapa saya. Saya kurang rapat dengan kedua ibu bapa saya. Sebabnya mereka seperti anggap saya bukan anak mereka. Mungkin kerana dibandingkan dengan abang-abang sy, mereka ada rupa yang menarik berbanding saya yang hitam, gemuk dan hodoh sewaktu kecil (selalu diejek abang-abang). Waktu sakit demam tak pernah dipeduli. Time kena demam campak mak saya marah-marah suruh saya buat kerja sekolah, kerja rumah dan mengatakan saya menyusahkan beliau untuk mengambil cuti kerja.




Time makan saya mesti duduk di bawah lantai. Abang-abang duduk di meja makan. Raya tiada makna. Tak pernah dapat duit raya, peluang bersalam dan memberi atau dapat cium untuk meminta maaf. Mak saya seperti jijik dengan saya sehingga saya berusia 12 tahun. Ye dulu saya selalu menangis, menangis kerana merasakan saya ni anak angkat, anak kutip, anak orang lain. Terasa benar waktu kecil dulu. Tapi memang saya anak kandung mereka. Apalah dosaku yang diperlakukan seperti ini ketika itu.



Ekonomi merundum, mak berhenti kerja sebab gaji mak tak dibayar 3bulan, lepas tu pula, tiba-tiba ayah saya diberhentikan kerja. Mereka mengambil keputusan untuk berniaga dan mereka membuka warung masakan melayu. Yang jadi mangsa saya. Saya seawal umur 8 tahun, setiap hari selepas balik dari sekolah agama saya diwajibkan membantu mereka di warung dari jam 6 petang hingga 11.00 malam. Setiap hari. Buat kerja rumah lepas balik dari warung. sampai pukul 1 pagi kadang-kadang. Ye seawal usia 9 tahun macam-macam saya disuruh buat. Abang-abang? Mereka duduk dirumah saja, kalau lapar order je nak apa. Nanti ada pembantu di kedai akan hantar.



Pernah sekali saya demam panas, mungkin akibat letih, saya jatuh pengsan di sekolah, guru kelas saya telefon mak saya, mak boleh cakap saya mengada. Tunggu saya sedar, nanti suruh saya balik dengan van sekolah. Guru kelas saya risau, beliau terus membawa saya ke klinik (Terima Kasih Cikgu Lina). Lalu cikgu menghantar saya pulang ke rumah, mak saya tanpa mengucapkan terima kasih kepada cikgu saya terus menutup pintu dan marah-marah saya cakap saya menyusahkan dia. (Apa yang dia rasa susah time ni pun saya tak paham?)



Masa berlalu, Sewaktu saya berusia 13 tahun, perangai dan sikap kedua-dua abangku semakin melampau. Abang keduaku pernah cuba mencabulku. Saya menangis lalu saya cerita dengan mak. Mak cakap saya bodoh bagi abang saya cabul saya dan benarkan abang saya cabul lalu mak suruh saya lupakan saja. Ya Allah sumpah waktu tu saya pernah terfikir nak ambik pisau bunuh diri je. (pengaruh tv mungkin) tapi saya tahu tu dosa. Akhirnya saya mengadu kepada cikgu kaunseling. Mak dan ayah saya dipanggil ke sekolah. Balik dari sekolah, saya yang tak tahu hujung pangkal , saya ditampar dan disebat dengan tali pinggang ayah saya.




Abang saya takda dikenakan apa-apa tindakan atau ditegur langsung. Saya didera mental dan fizikal. Nasib saya masih lagi waras. Semenjak dari kes saya mengadu kepada guru kaunseling saya, saya diberi amaran yang keras untuk tidak bercerita apa-apa kepada sesiapa pun. Jika tidak ayah saya berkata, dia akan pukul saya sampai saya menyesal. Saya dilarang menangis, mengadu, bercakap dengan siapa-siapa.



Sewaktu saya membantu di warung, saya sering dipuji orang lain terutamanya pelanggan di warung kami kerana dikatakan rajin dan didepan mak saya, mereka mengatakan untung mak saya ada anak perempuan seperti saya. Tidak semena-mena mak saya seperti sengaja menumpahkan minyak panas dari kuali yang baru lepas menggoreng ayam dan terkena di kaki saya. Pedih dan sakit yang amat. Mak saya marah saya mengatakan saya yang langgar dia. Allahu. Sumpah bukan saya yang langgar mak. Pelanggan mak saya saksi yang nampak kejadian tu yang menarik saya dan membasuh kaki saya tanpa henti. Pelanggan tu yang menangis beria nampak saya yang sedang dalam kesakitan. Ayah saya punya reaksi hanya memandang buat tidak nampak.



Saya duduk tepi sekejap lalu sambung buat kerja dan buat-buat tak sakit sebab saya tau balik nanti di rumah pasti saya kena nanti. Seperti yang dijangka, balik rumah saya dilibas tanpa henti. Badan ni jangan cakap la. Berparut sana sini. Saya menangis seorang diri didalam bilik air. Terasa diri sangat muda lagi waktu ni untuk melalui ujian ini. Kenapa saya yang kena tanggung semua ni. Apa salah saya..Sampai sekarang masih ada parut di kaki ni.



Abang-abangku akhirnya tamat sekolah dan dua-dua sambung belajar di kolej swasta (result kurang bagus) untuk ke IPTA. Saya mendapat keputusan agak cemerlang ketika PMR dan mendapat tawaran ke asrama tapi mak saya tidak benarkan saya ke sana. Alasannya siapa nak tolong dia di warung nanti.



Allah yang maha mengetahui, mungkin ada kekurangan didalam kehidupan seharianku, saya dikurniakan dengan rezeki kepandaian dalam belajar. Saya dikategorikan pelajar cemerlang. Walaupun masa saya sikit untuk mengulangkaji pelajaran, urusan belajar saya sangatlah dipermudahkan. Keputusan SPM saya memberangsangkan. 8A’s. Guru kaunseling saya membantu saya mengisi borang UPU. Memohon course medic, sains dan perniagaan.



Rezeki, saya mendapat tawaran IPTA dalam bidang sains dan turut mendapat tawaran ke Matrikulasi. Tapi seperti yang dijangkakan mak saya tak benarkan saya sambung belajar. Puas guru kaunselingku nasihatkan mak dan ayah. Keputusan muktamad. Saya tak boleh dan tidak dibenarkan untuk sambung belajar. Allah nak tunjuk kekuasaanNya, paklong saya (abang ayah) baru balik dari Manchester baru menamatkan pengajian peringkat Master dan PHD selama 7 tahun itu terus mengamuk apabila mengetahui segala perbuatan mak dan ayah terhadap saya. Paklong cerita, dia beria kerja part time kat sana bila ayah saya bagitau yang saya sakit perlukan rawatan di hospital dan meminjam duit paklong saya RM15 ribu sewaktu itu. Lalu paklong saya memaksa saya cerita segala perilaku mak dan ayah saya. Saya jadi tak berani cerita sebab saya takut dengan mak dan ayah.



Akhirnya, Paklong saya membawa saya ke balai polis dan membuat laporan polis dan seterusnya saya dibawa ke Hospital atas nasihat polis. Ya, akhirnya saya meluahkan segala apa yang terpendam di hati. Terasa nikmat meluahkan perasaan yang terbuku. Kes saya dianggap besar kerana setiap minggu naik turun jabatan kebajikan masyrakat (JKM) untuk meminta nasihat dan sebagainya. Dek kerana usia saya sudah mencecah 18 tahun, saya diminta membuat keputusan untuk tinggal bersama mak dan ayahku atau paklong. Tapi atas nasihat JKM, saya diminta untuk dijaga oleh keluarga paklong.




Ayah saya sangat takut dengan paklong jadi ayah saya memang berdiam diri. Mereka hanya ada dua beradik. (Paklong dan ayah). Mak saya sudah tiada adik beradik memandangkan adik mak saya meninggal di waktu muda akibat kemalangan. Saya dibenarkan sambung belajar tapi saya sambung belajar di kolej swasta (ditanggung penuh oleh paklongku) dalam jurusan perniagaan kerana saya lebih berminat dalam jurusan perniagaan.



Selepas kes paklong membela nasibku, hubungan saya dengan orang tuaku semakin baik. Mula rasa disayangi. Mula merasai kasih sayang. Benarlah, pelangi mesti muncul selepas hujan. Rezeki, selepas tamat belajar, saya mendapat peluang kerja di salah satu syarikat swasta yang terkenal di Kuala Lumpur ni. Pangkat pun exec. Lagilah disayangi oleh kedua ibu bapaku. Oh mereka dah berhenti meniaga sejak paklong balik dari luar negara. Mak menjadi suri rumah sepenuh masa dan ayah pula membawa teksi. Abang-abang saya dah berkahwin. Mak ayah pun dah bercucu 5 orang dah.



Semuanya kelihatannya semakin harmoni sejak kes yang haru dulu. Tapi baru-baru ni, saya dipaksa menerima lamaran seorang jejaka (anak kepada kawan mak). Saya fikir lelaki tersebut memang minat saya ataupun beliau meminta ibunya melamarku, rupanya beliau cakap beliau terpaksa sebab beliau takut menentang ibunya. Beliau sering mengherdik, memaki, mengejek serta merendah-rendahkan diri saya. Katanya wanita seperti saya yang gemuk, hitam tak lawa, tak cantik tak mungkin menjadi idamannya dan katanya tak mungkin ada orang nak dengan saya. Saya meminta beliau untuk memutuskan hubungan kami dan meminta beliau berterus terang dengan ibunya. Tapi beliau berkata, tidak mungkin beliau menentang pilihan ibunya. Beliau berkeras mahu memperisterikan saya tapi beliau siap bersumpah akan membuat saya menyesal sepanjang umur hidup saya.



Saya menceritakan kepada maklongku (isteri paklong), maklong terus beritahu mak saya supaya untuk memutuskan niat untuk menjodohkan saya dengan lelaki itu. Mak terus mengamuk macam orang kurang waras. Mak saya cakap, kalau saya tak terima lamaran tu, mak saya akan buang saya dari keluarga kami dan saya bukan anaknya lagi. Seperti ku jangka perkara seperti sebelum ini akan berulang lagi. Hubungan kami akan kembali keruh seperti dahulu. Apa yang patut saya lakukan? Takut untuk meminta pendapat paklong kerana paklong mesti akan mengamuk dengan keluargaku. Saya buntu. Setiap hari saya beristikarah, meminta petunjuk, memohon kekuatan. Masih tiada jawapan. Setiap hari terasa ingin lari dari rumah dan pergi jauh-jauh. Tapi saya saya sayangkan keluarga saya.




Lelaki tadi asyik mendesak saya untuk berkahwin dengannya ataupun saya kena putuskan hubungan kami sendiri. Kalau saya yang putuskan, mesti perangai dan sikap mak dan ayah akan kembali seperti dulu. Saya takut. Saya risau. Saya tak mahu dihantui kisah lalu. Baru saya nak merasakan kasih sayang dari keluarga, saya diuji lagi sekali. Apa yang patut saya lakukan? Terima kasih sudi baca kisah saya insan yang kerdil lagi penuh kisah yang rumit. Maafkan saya kalau susunan ayat saya karang yang berterabur ni.



Saya dahulukan ucapan terima kasih kepada admin andai confession saya disiarkan dan kepada kalian yang memberi pandangan nanti. Saya doakan urusan kalian dipermudahkan dan mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Doakan urusan saya juga dipermudahkan ya. Assalamualaikum.-Pen Merah Press

No comments:

Post a Comment