Tuesday, 24 January 2017

Esok genap 30 hari abah tak ada.

Dah 3 hari tak pergi kubur abah sebab hujan. Kalau hujan, jalan nak ke kubur tu memang teruk. Dan kalau sampai sana pun, tak ada tempat berteduh yang dekat dengan kubur abah.

Kalau boleh nak jadikan tabiat harian. Buat macam melawat orang sakit kat hospital. Lepas asar kan waktu melawat. Selesai kerja, solat asar, terus ke kubur. Lepak dekat sana. Kat sana tenang. Sunyi. Tak ada gangguan. Stress kerja pun hilang. Buat-buatlah bercakap dengan abah. Tapi kena duduk seorang diri. Kalau ada orang lain, segan pula 😅

Lagikan tapak kaki orang yang berjalan berhampiran kawasan kubur pun mereka boleh dengar, inikan lagi suara kita bercakap sebelah kubur dia.

+++

Ini gambar terakhir abah. 10 jam sebelum abah pergi. Petang tu waktu melawat. Kami 7 orang ada masa tu. Aku, Mak, Abg Nizam, Abg Yaakob, Kak Fida, Abg Ha, Kak Nurul.

Masa ni, abah lebih sihat dari hari sebelum. Abah minta bangun nak duduk, kami papah abah. Angkat dia bagi duduk. Aku tahan belakang abah takut abah jatuh. Tapi abah kuat. Dia tak bagi aku tahan belakang dia. Kuat dan degil, itu perangai abah. Kalau dia sakit, dia akan pendam.

Kami buat lawak, abah gelak. Kemudian abah pula buat lawak. Dia nampak buah anggur dekat meja tepi katil dia. Perlahan-lahan dia hulurkan tangan konon-konon orang lain tak nampak, dia nak sambar buah anggur tu. Kami terperasan, terus menjerit tak bagi. Ketawa besar juga dia walaupun dalam keadaan berwayar sana sini. Kami? Berdekah-dekah tengok gelagat abah. Benda yang tak boleh, itulah dia nak.

Seronok kami petang tu. Sebab kami boleh dengar abah gelak. Dalam hati, insyaallah esok atau lusa abah dah boleh keluar wad. Dalam dok bergelak, aku tangkap gambar abah ni. Abg Nizam cakap Abah macam alien pakai topeng ni. Abah gelak. Lepas tu kami tunjuk gambar ni kat abah. Abah gelak lagi.

Kemudian, abah nampak aku minum air neslo ais. Abah minta sikit sebab kerongkong abah gatal. Yelah, baru buang paip yang sumbat dalam kerongkong tu. Rasalah pedih-pedih sikit.

Asalnya tak nak bagi pun air tu. Sebab misi pesan abah tak boleh makan dan minum lagi. Tapi tengok cara abah minta tu, hati mana yang tak tersentuh. Yang lain semua suruh aku suapkan. Aku suapkan juga sedikit. Adalah dalam 50ml abah minum. Bolehlah basahkan tengkuk yang dah 2 hari tak makan dan minum.

+++

Dalam pukul 7.30 petang, kami balik. Kami tinggal mak untuk menjaga abah sementara kami nak balik mandi dan solat. Dalam pukul 8 malam, mak whatsapp. Katanya abah dah berpindah ke wad biasa. Lega kami dengar. Itu maknanya abah dah lebih sihat. Syukur alhamdulillah.

Malam itu lebih kurang jam 10.00 malam, aku dengan Abg Nizam ke hospital untuk ganti mak. Bagi mak balik rumah untuk rehat. Lagipun menantu dan cucu ada kat rumah. Bolehlah dia nak bersembang. Aku tinggalkan Abg Nizam di hospital, aku hantar mak balik rumah.

Dalam jam 10.30 malam, aku dah sampai di wad abah. Aku tengok Abg Nizam tengah basahkan tisu untuk sapu muka dan badan abah. Mata abah terpejam menikmati sapuan.

Inilah Abg Nizam. Dialah orang yang paling banyak berkhidmat kepada abah di hujung hayat abah. Dialah yang urutkan kaki abah. Dialah yang temankan abah tengok TV. Apa saja yang abah nak, dia buat. Malah, kalau abah cakap dia nak tidur dekat ruang tamu sebab abah rimas nak tidur dalam bilik, Abg Nizam lah yang temankan.

Malam itu, lebih 20 helai tisu dibasahkan. Disapunya muka, tangan, badan, kaki dengan tisu basah. Aku mampu tengok saja. Tangan aku keras. Macam tak tahu nak buat apa. Aku tengok saja Abg Nizam uruskan abah sambil aku tengok apa yang patut aku buat.

Tapi semuanya terkawal di bawah jagaan Abg Nizam. Aku yang keletihan, aku ambil keputusan untuk lelap sekejap. Lebih kurang dalam jam 12.00 malam, aku terlelap di atas kerusi bersebelahan katil abah.

+++

Jam 3.00 pagi doktor datang check abah. Entahlah apa yang doktor buat aku pun tak tau. Sebab seingat aku, aku terjaga dalam keadaan mamai, aku bangun, mundar mandir sekejap, kemudian aku tidur di kerusi satu lagi di sebelah sana.

Tepat jam 4.00 pagi(berdasarkan jam pada henfon), Abg Nizam kejutkan aku. Dia berbisik "...dah tak ada dah tu...", kemudian dia menghilang. Aku yang terjaga masa tu, aku ingatkan dia kata orang katil sebelah yang dah tak ada. Aku stay calm di atas kerusi aku dan aku perhatikan abah.

Muka aku terasa pucat.
Rasa macam darah tak sampai ke muka.

Dada abah tak turun naik.

Aku mimpi ke ni.

Aku bingkas bangun cari Abg Nizam. Rupanya Abg Nizam tengah panggil misi untuk tengok abah tapi dia kena marah. Misi kata sekejap, sebab katil sebelah tengah nazak.

Katil sebelah memang nazak.
Tapi abah kami dah tak ada dah ni.

Aku yang masa tu terus cakap, "Misi, abah saya......".

Lepas itu barulah kelam kabut. Katil abah dikerumun.

+++

Tirai ditutup. Kami berdiri di luar. Hati kami masih berharap abah akan 'datang kembali'. Masing-masing terdiam. Kami tak call sesiapa, kami tak mahu orang lain cemas. Sebab kami yakin abah akan datang kembali.

Selepas setengah jam, seorang doktor berbangsa Cina keluar dari tirai. Dia minta kami pergilah bacakan Yaasin. Dia kata nadi abah masih ada, cuma sudah tidak kuat.

Rasa macam mimpi. Betul-betul macam mimpi. Sebab petang tadi aku masih dengar dia boleh bergelak ketawa.

Abg Nizam cakap, dia kata masa dia sapu muka abah malam tadi, dia tengok air mata abah keluar. Entahlah kerana sakit yang teramat atau kerana tersentuh dengan cara Abg Nizam menguruskan dia.

Kami duduk di sebelah abah. Abg Nizam ajar abah mengucap. Aku bacakan Yaasin. Aku pegang tangan abah. Masih terasa hangat. Bercampur sedikit rasa sejuk.

Inilah dia tangannya. Tangan orang yang dulu memimpin aku mengajar aku berjalan. Tangan yang dulu menyuap aku makan. Tangan yang dulu pernah membasuh baju aku, mandikan aku, basuh berak aku. Tangan yang digunakan untuk mencari rezeki membesarkan aku.

Kini terkulai layu sedikit kesejukan.

Tangan yang jarang aku urut ketika dia mengadu kesakitan. Jarang. Sangat jarang. Aku sibuk. Aku sibuk mencari rezeki. Aku sibuk bernetworking dengan usahawan-usahawan hebat. Sehingga aku tak sempat mengurut tangan yang pernah mengusap kepala aku ketika aku kecil.

Aku sibuk.

Bodohnya.

Kalaulah aku tahu 20hb Disember adalah hari terakhir abah hidup, pasti aku akan buat segala-galanya untuk abah. Pasti aku akan urut tangan abah, suap abah makan nasi, belikan baju baru untuk abah, bergurau dengan abah, teman abah berbual, teman abah tengok TV.

Pasti aku hari-hari akan kucup tangan abah sebelum keluar ke ofis walaupun ofis aku cuma 1km dari rumah. Pasti aku akan kucup dahi abah setiap hari sebelum pergi kerja.

Pasti aku akan buat kalau aku tahu 20hb Disember adalah hari terakhir abah hidup. Pasti. Pasti aku akan buat.

Tapi aku tak tahu. Aku bodoh.
Aku ingat abah akan hidup selamanya.

+++

Bila abah dah tak ada ni, macam-macan rahsia bocor kepada aku. Rupanya, masa aku kecil, aku adalah anak yang paling abah sayang. Jangan dengar aku menangis, kalau dengar aku menangis, pasti abang-abang aku akan jadi mangsa pukulan abah.

Bila aku ingat balik, ya betul. Dulu masa kami mula-mula pindah ke Kelantan, aku berumur 5-6 tahun. Banyak memori aku bersama abah masa tu. Aku ingat lagi abah suka makan dekat mana waktu tengahari. Aku ingat lagi abah bawa aku ke kilang setiap pagi.

Tapi aku.. Semakin aku besar, semakin aku menjauh dari abah. Allah.. Bodohnya aku. Aku tahu kaki abah lenguh dan kebas setiap hari, tambah-tambah lagi bila malam. Tapi aku sibuk buat kerja. Kerja kerja kerja.

Kalau tak buat kerja sekalipun, aku akan keluar jumpa kawan-kawan. Bernetworking. Tapi aku lupa. Aku lupa bernetworking dengan bapa sendiri. Nasib baik ada mak, kehulu kehilir juga mereka bersama setiap hari.

+++

Raya 2016. Raya yang menjadikan aku munafik.

Semasa salam dengan abah, aku cium tangan abah. Aku selitkan sampul duit raya pada abah. Aku kucup pipi abah kiri dan kanan dan aku bisik pada abah. "Abah, nanti bulan 11 atau 12, kita pergi umrah ya..". Abah tersenyum. Abah seumur hidupnya belum pernah jejak kaki ke Tanah Haram. Aku tahu abah gembira dengar aku bisik pasal tu dekat dia.

Tapi aku bodoh.

Bodoh betul. Masa duit ada, pergi beli kereta. Saving banyak sikit, invest dekat bisnes baru. Renovate ofis, buka kedai makan. Kononnya bila invest dekat bisnes baru nanti duit makin banyak.

Aku dah jadi munafik.

Duit simpanan aku habis untuk setup benda yang yang aku tak tahu lagi bila akan dapat return. Memang betul, aku tak dapat return dari investment yang aku buat.

Abah pergi pada bulan 12, seolah-olah kecewa dengan janji palsu aku. Kalaulah.. Kalaulah aku gunakan duit tu untuk bawa abah pergi umrah bulan 11, pasti aku bahagia.

Bahagia sebab dapat bawa abah tunai umrah sebelum dia pergi.

Dulu, apa yang aku nak semua dia bagi. Aku nak motor, dia beli motor. Aku nak kereta, dia bagi kereta. Aku? Nak urut kaki dia pun aku tak boleh. Sesibuk dia masa aku kecil dulu, apa yang aku nak, kebanyakannya aku dapat.

Bila aku besar, nak berbual dengan dia pun aku tak sempat.

Sekarang, aku menyesal.

Hanya ratapan yang mampu aku lakukan.

Inilah yang aku nak anak-anak aku baca nanti. Jangan nanti bila aku dah mati, baru nak terkial-kial berbakti. Sebab nanti kau mungkin akan menyesal sampai mati. Menyesal kerana hidup tak berbudi.

Luangkanlah masa dengan ayahmu.

Sekeras-keras, seego-ego seorang lelaki, pasti mereka gembira jika anaknya menyayanginya sepenuh hati.

Uruslah ayahmu. Dengarlah ratapan keluhan bila dia sakit. Tunaikanlah hajatnya. Gembirakanlah dia. Ayah dan ibu kita tidak hidup selama-lamanya. Bila-bila masa, hanya batu nisan yang jadi penanda.

Telefonlah ayah dan ibu kamu setiap hari.

Mereka pasti gembira mendengar suaramu.

Tanyalah khabar mereka. Mintalah nasihat mereka. Ceritakanlah hari-harimu apda mereka. Dengarlah leteran mereka. Kerana suatu masa, pasti kau akan merinduinya.

Bukan semua ibu bapa perlukan duitmu.
Mereka cuma mahukan masamu. Sebagai timbalan kepada apa yang mereka sudah lakukan kepadamu.

Aku hanya tinggal mak.
Abah aku dah tak ada.

Aku dah tak boleh perbetulkan kesilapan aku.
Janganlah kau jadi macam aku. Ambillah iktibar.

+++

Aku ingat lagi hangatnya tangan abah walaupun dia dah tak bernafas. Dia dah tak bernafas tapi tangan dia masih hangat.

Ya Allah, Kau sayangilah dia, Kau rahmatilah dia, Kau kasihilah dia sebagaimana dia mengasihi kami

No comments:

Post a Comment