Wednesday, 29 June 2016

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan ‘ditahan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan skandal banglo ‘murah’ yang dimilikinya di Jalan Pinhorn di sini.
Setiausaha Agung DAP itu dikatakan dibawa keluar oleh beberapa pegawai SPRM selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri tersebut di pejabat beliau di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini petang ini.
Terdahulu sebelah pagi, pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini menjadi tumpuan ramai wartawan ekoran tersebar khabar angin menyatakan Guan Eng menerima saman untuk menghadiri mahkamah.
Namun peguam beliau, RSN Rayer dalam kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp menafikan berita itu konon SPRM menyerahkan saman terhadap Guan Eng untuk menghadiri perbicaraan kes banglo kontroversi tersebut.
Pada 25 Mei lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap skandal pembelian banglo harga diskaun itu dan menyerahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Isu hartanah itu mula menjadi ‘sensasi’ apabila dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen BN Tasek Gelugor, Datuk Shabuddin Yahaya ketika persidangan Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu sehingga mencetuskan perdebatan panas.
Tokoh veteran UMNO Pulau Pinang itu turut mengaitkan banglo tersebut ada hubungan dengan penjualan misteri sebidang tanah di Jalan Zainal Abidin kepada sebuah syarikat yang sepatutnya untuk dibina projek flat kos rendah.
Rentetan pendedahan itu, ramai pemimpin DAP memberi pelbagai dalih termasuk Guan Eng cuma akauntan biasa yang tidak tahu apa-apa mengenai isu hartanah tersebut dan konon fengshui banglo yang didapati kurang baik.
Kes Guan Eng yang juga Exco bertanggungjawab dalam isu tanah di Pulau Pinang menyerupai kes bekas menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo, yang dihukum penjara kerana membeli banglonya pada harga rendah.
Doktor gigi tersebut dikatakan berjaya memiliki kediaman mewah yang dilengkapi kolam renang itu dengan cara rela hati daripada individu sekali gus menerima harga diskaun ketika masih lagi berkuasa. – Mynewshub

It's only fair to share...

No comments:

Post a Comment