Thursday, 23 June 2016


Bertubi-tubi serangan dilakukan terhadap kerjaya pendidik mutaakhir ini. Dari segenap penjuru masyarakat menyerang. Tanpa ada rasa hormat dan rasa belas kasihan. Media arus perdana juga tidak ketinggalan menyentap hati pendidik. Media sosial sudah menjadi medan utama melepaskan geram terhadap pendidik.
Jika dilihat trend ini berlaku bukan sahaja kepada pendidik yang mengajar di sekolah-sekolah, malahan keseluruhan kerjaya pendidik telah diserang dengan amat dahsyat oleh masyarakat. Pendidikan formal dan tidak formal menjadi sasaran kegilaan masyarakat. Lihat sahaja guru-guru yang mengajar agama. Bagaimana mereka dicaci dan dihina sedemikian rupa. Isu bayaran, isu perbezaan pendapat, isu amalan.
Pendidik di sekolah dan universiti juga sering diserang oleh media dan masyarakat. Pantang ada kes, terus mereka jadi mangsa kecaman. Serangan terhadap pendidik bukan sedikit-sedikit. Bagi media, yang penting ialah buat cerita sensasi sehingga pendidik dikecam sampai aib seluruh kerjaya pendidik. Barulah media dan masyarakat puas hati.
Namun bila siasatan selesai dijalankan, kebanyakkannya memihak kepada pendidik. Maknanya pendidik tidak bersalah sama sekali. Sedikit pun media tidak mahu menghulurkan kata maaf. Maka akan adalah pihak memutarbelitkan fakta. Fakta yang direka, ditokok tambah sehingga menggambarkan kerjaya pendidik sangat kotor dan jahanam.
Kenapa dengan masyarakat kita? Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Sakit hati? Iri hati? atau  sudah lupa diri? Apakah masyarakat merasakan mereka lahir sahaja terus menjadi seperti sekarang?
Benarlah kata guru-guru kami. Benarlah kata Nabi kami. Menggalas tugas seorang Nabi ini memang besar cabarannya. Membawa dan memimpin tangan manusia dari lohong kegelapan ke ruang cahaya sangat memenatkan. Risikonya, apabila si buta melihat cahaya, mereka terkejut dan melatah. Latahannya tak dapat dijangka. Terkadang tangan yang memimpinnya juga jadi mangsa.
Agenda penjajah semakin terserlah. Untuk menawan sesuatu tamadun, penjajah akan menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada pendidik. Pabila hilang rasa horamat kepada pendidik, tiada siapa yang akan mengikut segala cakap-cakap pendidik. Ilmu tak dapat disampaikan. Masyarakat jadi jahil. Maka mudahlah tentera Dajjal menyerap dalam jiwa-jiwa manusia.
Bertabahlah, bertabahlah, bertabahlah.

No comments:

Post a Comment