AKHLAK MULIA TARIKAN DAKWAH YANG PALING BERKESAN
Ulama ulung, al-Imam Abdullah bin al-Mubarak mempunyai seorang jiran berbangsa Yahudi. Apabila beliau membeli daging atau buah-buahan, beliau akan menghadiahkannya kepada jirannya itu. Suatu hari orang Yahudi itu bermaksud menjual rumahnya, datanglah seorang yang hendak membeli. Dia berkata: "Harga rumahku ini dua ribu dinar, yang seribu adalah harga rumah dan seribu lagi harga berjiran dengan Ibnu Mubarak." Beliau amat terharu dengan perkataan jirannya itu, lalu diapun mendatanginya seraya berkata: "Ini seribu dirham untuk harga rumahmu dan engkau jangan menjualnya." Setelah peristiwa itu akhirnya Yahudi itu masuk Islam.
Rasulullah SAW mengajarkan kelembutan dan akhlak mulia sebagai teras kecemerlangan dakwahnya. Terbukti ketika baginda membuka kota Makkah dan menawan penduduknya, saat itu kunci Kaabah telah dilarikan oleh pemegang amanahnya yang bernama Usman bin Talhah, seorang musyrikin. Keluarga Usman dipandang mulia kerana telah berkhidmat menjaga Kaabah secara turun temurun. Itulah warisan yang paling mahal dan berprestij bagi zuriat mereka. Dia menyeru dari atas bumbung Kaabah: "Sesekali takkan ku biarkan lelaki yang mengaku dirinya Nabi merampasnya daripadaku."
Lalu Saidina Ali bin Abu Talib memulas tangan Usman dan mengambil kunci itu. Kemudian datanglah al-Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Rasulullah SAW memohon agar kunci itu diserahkan kepada keluarga beliau. Namun Rasulullah SAW menyuruh Ali untuk mengembalikannya kepada Usman bin Talhah yang masih kafir dan nyata penentangannya kepada baginda SAW. Rasulullah juga menyuruh Ali meminta maaf kerana telah menyakiti tangannya.
Setelah menerima apa yang menjadi haknya Usman bin Talhah menyatakan dirinya masuk Islam. Beliau begitu terharu dengan sifat adil dan kasih sayang yang terserlah pada keperibadian Rasulullah SAW. Akhirnya semua orang kafir di Makkah menyerahkan dirinya kepada agama Allah. Dengan rasa tunduk mereka menginsafi diri betapa indah dan mulianya ajaran agama Allah ini.
Setiap muslim bertanggungjawab mempamerkan nilai-nilai Islam ketika berinteraksi dengan non-muslim. Kewajipan menyampaikan mesej Islam ini bukan terletak di tangan para pendakwah yang berlatar belakang pendidikan Islam sahaja, tetapi setiap individu muslim adalah pendakwah dengan bidang dan kepakarannya masing-masing.
Cara yang paling sederhana dan mudah ialah tunjukkan akhlak Islam yang mulia, jujur dan amanah, sopan santun dan berbudi bahasa, adil dan bertanggungjawab, kasih sayang dan simpati, semua itu merupakan ciri-ciri Islam yang mesti diperjuangkan.
Al-Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa, pada suatu hari Ibnu Mas'ud RA pernah mengucapkan selamat (Salam) kepada seorang lelaki kafir yang menemaninya dalam pemusafiran. Beliau berkata: "Semoga kamu mendapat kebahagiaan dalam hidupmu." Lalu para sahabat bertanya mengapa beliau berkata seperti itu kepada orang kafir. Beliau menjawab: "Subhanallah, dia telah menemaniku dalam perjalananku sedangkan Allah berfirman: Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." Surah Al-Baqarah: 83
Senyuman dan kata-kata yang manis sudah cukup membuktikan bahawa Islam itu penyebar kasih syang sejagat. Dr. Asri
No comments:
Post a Comment