Sunday 10 April 2016

Menghayati Kepentingan Sifat Keadilan
Suatu ketika, seorang sahabat bernama Basyir r.a. telah menghadiahkan satu pemberian kepada salah seorang diantara anak lelakinya bernama An-Nu’man r.a. Beliau kemudian bertemu Nabi s.a.w. untuk mendapatkan nasihat berkaitan pemberian tersebut, Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah semua anakmu diberi hadiah serupa?” Basyir r.a. menjawab: “Tidak Ya Rasulullah”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.” [Hadith riwayat Abu Dawud]

Mungkin ada yang ketika mendengarkan kisah tadi bertanggapan bahawa ia bukanlah satu isu yang besar. Ini kerana harta itu adalah harta milik si ayah, dan pemberiannya bakal dimanfaatkan anaknya sendiri. Akan tetapi saudaraku, nasihat dan peringatan Nabi s.a.w. ini memberi gambaran kepada kita akan kepentingan sifat adil. Adakalanya tanpa kita sedari, sikap ketidakadilan ibu bapa dalam layanan terhadap anak-anak boleh menimbulkan perasaan hasad dengki, kebencian dan bahkan kemarahan antara adik beradik.

Ini akhirnya boleh menjejas rasa yakin diri anak itu dan menghambat perkembangan minda dan emosi beliau. Di sinilah hikmahnya Nabi s.a.w. menekankan prinsip keadilan lebih-lebih lagi di peringkat keluarga lagi. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 90:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

Mungkin ada yang berkata, “Diriku tidak pernah berlaku zalim” lalu dia bertanggapan kurang pentingnya isu ini. Saudaraku, ketahuilah bahawa berlaku adil dan menjauhi kezaliman bukan sahaja pada perbuatan semata-mata. Apabila Islam memerintahkan setiap individu mukmin untuk berlaku adil, ia bermaksud, berlaku adil pada segenap aspek kehidupan, seperti keadilan dalam perbuatan, pada percakapan, pada perhubungan dan sebagainya. Keadilan  juga bukan hanya terhad kepada sesama manusia tetapi juga terhadap seluruh ciptaan Allah s.w.t.

Marilah kita berusaha untuk berahlak mulia dan bersifat adil. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita sekeluarga rahmat dan pengampunanNya. Amin Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment