Tuesday 1 March 2016
keluarga yang sangat daif dan susah di pedalaman Kedah, kini merupakan antara Doktor Pakar Otopedik termuda dalam negara ini dan telah tersenarai dalam 8 orang finalis calon angkasawan negara.
Apa yang menginsafkan kita, pabila saudara Dr Nawar ini, mengakui bahawa, ‘setiap butir nasi yang dijamah dan dimakan, adalah rezeki kurniaan Allah, hasil titik peluh perjuangan UMNO.’
Saudara dan Saudari,
107. Hasrat hati saya, alangkah indahnya, jika lebih ramai, bukan sahaja para perwakilan, tetapi kesemua ahli UMNO atau sebolehnya seluruh rakyat Malaysia mensyukuri kehidupan sedemikian sekali dan dengan limpahan rezeki yang dirasai ini sebagai hasil perjuangan parti kita.
Saudara dan saudari,
108. Kata orang, sudah terang lagi bersuluh. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, jelas sekali, sebegitu banyak warna-warna kejayaan orang Melayu dan Bumiputera, yang telah dilakar dan dilukis hasil perjuangan UMNO, tidak terungkap oleh kata-kata, tak terhitung pula oleh angka.
109. Apatah lagi menjelang Mei tahun depan, UMNO akan mencecah usianya yang ke-70 tahun, sekaligus memegang rekod sebagai parti yang berjaya mempertahankan kemampuan dan kalibernya, mengemudi Malaysia yang pesat
membangun, sejak dulu, kini dan insyaAllah selamanya.
110. Lalu, saudara dan saudari seperjuanganku, marilah kita bersama memberi tepuk semangat yang gemuruh, kepada UMNO parti tercinta yang telah berjasa kepada nusa dan bangsa ini.
Saudara dan saudari,
111. Begitulah saya, sebagai ahli parti dan Presiden UMNO yang taat dan setia, pabila tibanya bulan Mac tahun depan, genaplah penglibatan saya selama 40 tahun, bersama parti ini, tanpa sekalipun,… pernah meninggalkannya.
112. Apatah lagi,… saya yang lahir dari leluhur UMNO,… mana mungkin bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan. Kata pepatah orang Bugis,… sekali layar sudah dikembang,… saya berikrar bermati-matian akan terus memimpin perjuangan mulia ini, bagi membela orang Melayu dan Bumiputera.
Saudara dan saudari,
113. Malangnya,… ada sesetengah pihak yang telah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan ini, dengan tujuan menenggelamkan lawannya.
114. Sayang seribu kali sayang, mereka terlupa bahawa tindakan khianat sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya, akan tetapi, akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini.
Saudara dan saudari,
115. Berhubung soal ini, sarjana-sarjana agama, antaranya Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr Sulaiman Saloomi, sendiri pun, menyatakan tentang haram hukumnya menggulingkan Kerajaan.
116. Apatah lagi, melalui demontrasi jalanan, sehingga tergamakkah kita melihat pabila segelintir kaum lain, dengan beraninya memijak-mijak gambar-gambar para pemimpin Melayu Islam kita.
117. Demikian juga, saudara dan saudari, saya telah meminta pendapat beberapa orang alim ulamak, berkaitan bagaimanakah yang dikatakan sesebuah Kerajaan itu zalim serta layak ditumbangkan.
118. Soalnya, apakah kepimpinan Kerajaan kini yang telah berikhtiar sehabis baik, merintis berjuta jalan, demi maslahah rakyat, apakah itu boleh dihukum sebagai Kerajaan yang zalim?
119. Sebaliknya, baru-baru ini di dewan undangan negeri Pulau Pinang di bawah Kerajaan DAP, ADUN PKR Penanti, di Permatang Pauh, telah menangis teresak-esak dan tersedu sedan, mengenangkan nasib para pengundi di kawasan beliau, terutamanya orang-orang Melayu yang katanya, tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua Menteri mereka
sendiri.
120. So,… tengoklah apa yang berlaku,… sampai begitu sekali. Walhal, syukurlah tidak pernah terjadi dalam sejarah Barisan Nasional, selama puluhan tahun, sampai ada yang menangis seperti itu.
121. Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? tepuk dada, tanyalah selera.
Saudara dan saudari,
122. Pucuk pangkalnya, janganlah hendaknya dipersiakan apa yang kita secara susah payah raih dan kecapi. Nanti menyesal sudah tidak berguna lagi,….
123. Kita kena sentiasa beringat, di perhimpunan yang dirahmati inilah, orang-orang Melayu berkampung. UMNO inilah tempatnya kita menumpang manja, mengadu suka dan duka.
124. Di perhimpunan bertuah inilah, saban tahun kita keramatkan segala usul yang akhirnya menjadi dasar-dasar negara.
125. Ingat,... ingat ya,.. di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di perhimpunan ini jugalah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan.
126. Dan,… yang paling utama, di jamaah dan himpunan inilah, syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka, agar tidak merempat di watan sendiri.
Saudara dan saudari,
127. Selain itu, dewasa ini, institusi Bumiputera seperti UiTM, bukan lagi calang-calang menara gading. Pasukan debatnya telah memenangi kategori utama dalam pertandingan debat intervarsity paling kompetitif di dunia, yang berlangsung di Universiti Cambridge.
128. Tidak lupa kepada para pendebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila memenangi kategori English as second language dalam pertandingan yang sama.
Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada mereka.
Saudara dan saudari,
129. Seterusnya, seperkara lagi yang ingin saya kongsikan dari hati ke hati,… dalam melayari pimpinan dan pentadbiran negara ini, waima siapa sahaja yang duduk di kerusi sebagai sebagai Perdana Menteri, sekaligus juga seorang Presiden parti, bukan sekadar sekali-sekala, namun hampir setiap masa, saya dihadapkan dengan pelbagai dilema dan punya tiada pilihan, bahkan terpaksa membuat keputusan-keputusan yang berat dan keras, namun, demi kepentingan parti, setelah disepakati secara syura oleh Majlis Tertinggi UMNO.
130. Ternyata, ada waktunya, kalau atas dasar seorang sahabat, tidak mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai.
131. Namun, bak kata kearifan Inggeris, if you wish to please everybody, you will end up pleasing no one.
132. Lalu, atas nama survival dan kepentingan parti, tindakan-tindakan tertentu, terpaksa dengan berat hatinya diambil.
133. Ini, saya rujuk kepada antaranya rombakan kabinet, bagi memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam membina kesepakatan dan kesetiaan, sebagai satu pasukan yang padu, berasaskan konsep collective responsibility, sebagai satu saf atau pasukan yang mantap
lagi jitu.
134. Tambahan lagi, perjuangan UMNO bukan sahaja di Tanah Semenanjung, bahkan kita akan terus membantu rakan-rakan seperjuangan kita, yakni parti komponen Barisan Nasional, dalam usaha membela untung nasib rakyat di Sabah dan Sarawak.
135. Oleh itu, baru-baru ini, saya telah umumkan bahawa, lebih banyak kuasa pentadbiran atau empowerment, yang membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diberikan kepada Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
136. Tidak cukup sekadar itu, dalam Bajet 2016, kita zahirkan komitmen, dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,796 kilometer, yang bebas daripada sebarang bayaran tol.
Saudara dan saudari,
137. Begitu juga halnya bagi negeri Sabah. Di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, kita terus bermati-matian mempertahankan tanah Sabah daripada penceroboh yang tidak diundang.
138. Akan tetapi, kita berasa sangat kesal, tatkala kita mempertahankan kedaulatan bumi Sabah, daripada pengganas, ada pula individu-individu tertentu yang tergamak, malah sanggup bertemu dengan pihak yang pernah dikaitkan dengan penceroboh di Lahad Datu.
139. Perbuatan ini sememangnya sungguh tidak bertanggungjawab, sungguh mengguris hati, bahkan boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap keluarga dan para perajurit serta pengkhianatan terang-terangan pada negara.
140. Di atas semuanya, Kerajaan akan terus mempastikan keselamatan bumi Sabah, supaya negeri di bawah Bayu terus kekal bersama Malaysia, makmur sentosa, buat selama-selamanya.
Saudara dan saudari,
141. Sejak akhir-akhir ini, rakyat sering dimomok-momokkan oleh parti pembangkang, kononnya, mereka adalah alternatif untuk menggantikan Kerajaan Barisan Nasional.
142. Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP, cuba ‘menguasai’ parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
143. Ini dapat kita lihat, bilamana ada di kalangan pemimpin mereka, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi DUN, yang dimenangi oleh PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihanraya Umum ke-14 kelak.
144. Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dengan angkuhnya memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Negeri Sarawak nanti.
145. Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi.
146. Seterusnya, DAP mencuba lagi berpakat di tahun 2008 dan 2013 dengan PAS dan PKR. Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti.
147. Mutakhir ini pula, parti PAS telah disepak dan diterajang keluar daripada pakatan mereka macam itu saja.
148. Ternyata, puak-puak DAP ini, tak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka. Cubalah kita fikir dan renung-renungkan. Nak berpakat pun payah, jadi,… macam mana nak perintah negara?
Saudara dan saudari,
149. Bersabit perkara ini, selagi saya memimpin, seruan saya kepada rakan-rakan dan saudara saudari seperjuanganku sekalian bahawa, kita sekali-kali tidak akan membiarkan individu tertentu bercakap sembarangan, kononnya kita perlu menjurus kepada two-party system atau sistem 2 parti.
150. Mana boleh???,… Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi,… dari sudut falsafah dan perjuangan UMNO itu sendiri, yang memartabatkan bangsa dan mempertinggikan syiar Islam, saya ingin bertanya kepada perwakilan dan ahli UMNO semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat
seruan yang tidak bijaksana itu?
151. Benda inilah,… hal inilah,… perkara inilah,… orang melayu kita, orang UMNO kita,… kena berjaga-jaga dan berwaspada.
152. Jangan sampai kita tersilap langkah,… jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.
153. Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma 2 pilihan sahaja, sama ada coalition, yang dipimpin oleh UMNO, ataupun satu lagi coalition yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.
154. Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.
155. Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah….
UMNO MENUJU ISLAM YANG AUTENTIK, SEJATI LAGI MURNI
Saudara dan saudari,
156. Menjengah jendela Islam dan perjuangan UMNO terhadapnya, selama berdekad-dekad, parti ini, telah menyongsong pembawaan syiar Islam, yang memenuhi tuntutan kerangka Maqasid Syariah.
157. Sampai kini, Malaysia semakin dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik, seraya menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara Islam yang lain di dunia.
158. Kita bukan beromong kosong, fakta ini dikukuhkan melalui Indeks Syariah Malaysia, yang saya lancarkan pada 10 Februari 2015 yang lalu,... sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.
159. Insya-Allah,... awal tahun hadapan hasil penilaian pertama bakal diumumkan dan bersandarkan dapatan ini,... saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri berikrar dan berjanji akan komited sepenuhnya untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia.
160. Barulah, sebuah negara Islam yang digelar “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” akan terbangun dan terwujud jua di Malaysia. InsyaAllah.
161. Sesungguhnya, inilah rupawajah Islam yang menjadi jajaran dan pedoman perjuangan UMNO, yang telah kita junjung.
162. Dalam mengangkat syiarnya pula, kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
163. Pucuk pangkal, kalau kita takut, mana mungkin saya membuat keputusan menjejakkan kaki ke bumi Gaza, tanah para Anbiya’ di saat-saat kemelut masih meruncing ketika itu.
164. Bahkan terbukti, perjuangan ini telah kita bawa dengan beraninya, hingga ke Podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
165. Jelasnya, kepimpinan UMNO akan terus beristiqamah bagi membantu perjuangan saudara seakidah kita di Palestin. Allahu Akbar! Allahu Akbar!
166. Terkini, semalam saya sendiri telah menerima 3 keluarga seagama kita, yang bernasib malang dari Syria untuk diberi perlindungan dan kehidupan baru.
167. Sememangnya, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Maka berbenar-benarlah sabda junjungan mulia Nabi Muhammad, antaranya pada peristiwa perang Khandak. Lantas, UMNO yang menjunjung Islam sejati atau The Authentic Islam, pasti diperkekalkan oleh Allah perjuangannya sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment