Tuesday, 1 March 2016
19. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.
20. Walau bagaimanapun Alhamdulillah saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.
21. Justeru, pada minggu-minggu yang lepas, dalam ikhtiar menyediakan ucapan selaku selaku presiden bagi kali yang ketujuh ini, saya telah mengadakan pertemuan-pertemuan, dengan pelbagai pihak, dengan alim ulama, bagi mendapat pandangan serta nasihat.
22. Ini semua, saya lakukan, oleh sebab pada hemah peribadi dan rakan-rakan, kita sedang mendepani detik-detik sukar lagi menduga kesabaran serta juga sifat istiqamah kepimpinan parti.
23. Lalunya, saya dipesan-pesan bagi memperingati satu sama lain, antara petikan-petikan dari surah Al-Quraish dan A-li I’mran ayat 160, serta sepotong lagi kalimah-kalimah terakhir, sebagai penutup surah Al-Baqarah.
24. Begitulah saya mengajak saudara dan saudari, sama-sama mengucapkan Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad wa a’la Ali Saidina Muhammad.
25. Mudah-mudahan terurai segala simpulan, terhapus semua kesusahan, tertunai seluruh hajat yang didamba dan tercapai segala hasrat yang diinginkan, Insya-Allah.
Saudara dan saudari,
26. Merujuk apa yang saya nyatakan itu, dalam maksud lain, saban tahun, bukanlah mudah untuk saya berdiri di hadapan semua, di mana tubuh atau susuk ini, tiap kali berucap akan dipertanya-tanya, sama ada saya ini berucap sebagai apa? Presiden UMNO ataupun Perdana Menteri Malaysia.
27. Jawapannya, Ya, betul, saya sedar, saya adalah Presiden kepada parti UMNO dan benar, dalam masa yang sama, saya juga adalah seorang Perdana Menteri bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.
28. Beriring dengan tanggungjawab ini, setiap kali perhimpunan agung, acapkali juga dipersoal dua lagi perkara, adakah presiden UMNO itu seharusnya berpendirian ultra atau pro-Melayu sahaja, dan keduanya mesti bersifat Islami ataupun tidak?
29. Ertinya di sini saudara dan saudari, semua orang mesti faham baik-baik, bahawa tugas yang terpikul di bahu saya, sambil dibantu oleh rakan-rakan, umpama seurat rambut dibelah tujuh.
30. Maksud yang mendalamnya, di kala Malaysia yang serba moden lagi membangun pesat ini, dengan pelbagai kaum di Semenanjung, menjangkau 40 kumpulan etnik di Sarawak dan lebih 60 suku di Sabah, tambahan pula budaya dan faham yang beragam-ragam, teknologi dan media yang makin canggih serta masyarakat yang lebih terdidik, segalanya, daripada sebesar-besar hal kepimpinan dan pentadbiran negara juga parti, kepadalah sekecil-kecilnya urusan, tidak lagi semudah dan sesenang,berbanding waktu yang dulu-dulu.
31. Maksudnya, peranan kepimpinan parti dan Kerajaan, mencakupi ruang lingkup yang seluas-luasnya, yakni yang dapat dilapiskan pada peringkat nusa atau negara, ummah dan tentunya Melayu Bumiputera.
32. Maknanya lagi, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan, bukan sahaja orang Melayu, Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Islam dan bukan Islam, di mana unjurannya terkini seramai hampir 20 juta orang.
33. Malah, tentunya seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah dekat 30 juta kini, tidak kira kaum Cina, India, Serani mahupun orang-orang Siam yang menetap di negara ini, semuanya, semuanya bagi kepimpinan UMNO, adalah sama penting dan sama mustahak dalam pembikinan sebuah nusa makmur lagi berjaya.
Saudara dan saudari,
34. Namun, saya dan kita semua harus faham dengan jelas, bahawa pendirian kita, tatkala berada di forum dan pada pentas Perhimpunan Agung UMNO ini, barulah munasabah dan tentu sekali berhak bagi kita menjurus untuk cenderung terhadap pembelaan untung nasib serta kebajikan khususnya, orang-orang Melayu dan Bumiputera.
35. Jadinya, bagi setiap usul, setiap perbahasan dan segenap isu yang diperdebatkan, obor perjuangan yang dinyala, jangan gentar dan usahlah bimbang, malah, kita dalam perhimpunan ini, sewajibnya, tidak lain dan tidak bukan, mesti terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta keturunan Melayu dan Bumiputera, di tanah tumpah darahnya
sendiri.
Saudara dan saudari,
36. Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya.
37. Jika digali sejarah dan sisir kepimpinan negara, bermula pada zaman Almarhum Tunku, membawa kepada saya sebagai Perdana Menteri yang keenam ini, tidak ada seorang pun yang terlepas atau terkecuali daripada menerima ujian.
betul tuan-tuan
38. Berhubung semua ini, saudara dan saudari, tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan, saya sering diperingkatkan oleh rakan-rakan, tentang mafhum dan tafsir surah Al-An’am, yang menjelaskan bahawa cabaran terhadap seseorang pemimpin itu harus diterima sebagai satu muhasabah, yang dengannya, mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan
mengangkat martabat kita.
39. Hatta, memetik hikmah kata oleh Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia bahawa, tiada percetakan atau buku-buku panduan, yang bisa atau mampu melahirkan seorang pemimpin.
40. Kerana pemimpin itu, sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di
celah-celah kemelut supaya mampu menangani cabaran dan dugaan.
Saudara dan saudari,
41. Dari yang tersurat dan tersirat, dengan berbekalkan mutiara qurani dan petikan duniawi, yang telah saya sampaikan nanti, biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya, tidak boleh sesekali menyerah kalah, hidup umno, hidup umno, hidup umno, bahkan, dengan saya dengan beraninya harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.
42. Melangkah ke hadapan lagi, dalam mengharung asakan-asakan dan dugaan yang dipertimpa ke atas saya, pada hemat saya, kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati.
43. Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu’ di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar, saya seorang Presiden dan Pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Saya juga ada kelebihan dan saya juga ada kekurangan.
44. Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.
45. Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya, to me, I can’t just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah,keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala sebabnya, jika tidak, seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.
Saudara dan saudari,
46. Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian. dah nampak
47. Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion. Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti bahawa kita dapat menyelesaikan dengan cara yang tuntas.
48. Menyentuh dana 2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab di sidang Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, yang pentingn adalah wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden.
dengan nasihat peguam negara saya tidak boleh cakap lebih daripada itu.
Yang mustahak,… saya yakin,… saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga.
Saudara dan saudariku sekalian,
49. Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.
50. Bersabit ini, apa yang mahu saya jelaskan, bukanlah sesuatu yang menurut hawa nafsu, namun disandarkan kepada sirah dan ibrah para nabi, yang didampingi sahabat-sahabat berwibawa.
51. Saya turut meninjau tawarikh pertubuhan atau organisasi di serata dunia, dan kita dapati, jika sifat kesetiaan atau loyalty tidak terwujud kental pada diri masing-masing, dalam mendokong pimpinan utama, sudah barang pasti rosaklah rencana, pincanglah kesatuan.
52. Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang menjadi berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang UMNO dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.
53. Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti UMNO ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang curang dan berniat jahat.
54. Malah, hukum kesetiaan disebut berulang kali dalam Al-quran dan hadis, antaranya melalui surah An-Nisa’, tentang tuntutan ketaatan kepada Ulil Amri.
55. Dalam Islam, berasaskan nas dan matan hadis yang sahih, jumhur ulama, berpegang kepada pandangan dan nilai kesetiaan serta ketaatan, yang disebut sebagai wala’, yang bererti memberi taat, kecintaan, setia dan kasih sayang kepada pemimpin dan institusi kepimpinan itu. Ini Islam.
56. Sebab itu, kita tidak dapat memisahkan prinsip kepemimpinan dan kepengikutan, yang sebenarnya bersifat saling berkait antara satu dengan yang lain.
57. Kendati itu, dalam Sejarah Melayu lama pun, memperakukan dengan halusnya dalam bait-bait indah tentang kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.
58. Ia menyebut, diseru dan dipanggil kita datang, disuruh pergi, kita pulang. Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.
59. Sebab itulah, saudara dan saudari, Islam secara khulasahnya, menetapkan bahawa adalah wajib kita mentaati pemimpin yang memerintah.
60. Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak ini, Saya seorang yang tidak confrontational Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa, apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini.
61. Laginya, hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum, bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya, Najib Razak ini, Saya jugalah pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan UMNO pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat
dan setia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden UMNO, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri.
Saudara dan saudari,
62. Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.
63. Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, “Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden”.
No comments:
Post a Comment