KUALA TERENGGANU - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih bebas menyatakan pendirian berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah tidak tersenarai dalam barisan Kabinet baharu.
Penolong Setiausaha Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, Muhyiddin kini tidak lagi terikat dengan kerajaan dan kedudukan terbaharu itu memberi lebih banyak peluang untuk beliau bercakap mengenai 1MDB.
"Beliau (Muhyiddin) diketepikan daripada barisan Kabinet baharu kerana bersikap benar mengenai isu 1MDB.
"Sebelum ini beliau tidak boleh bercakap mengenai isu ini, tetapi apabila sudah berada di luar, beliau ada peluang dan lebih bebas menyatakan pendapat," katanya kepada Sinar Harian.
Muhyiddin dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan tidak pernah menyesal dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan namanya daripada barisan Kabinet baharu dalam rombakan pada Isnin lalu.
Muhammad Zaidan berkata, sekiranya menteri-menteri yang berada dalam Kabinet baharu ini berdiam diri berhubung isu 1MDB, maka rakyat akan mempunyai persepsi negatif dan segelintir akan menganggap mereka sebagai 'Kabinet mangkuk atau kayu'.
Jelasnya, persepsi yang bakal wujud selepas ini adalah berdasarkan pendirian menteri-menteri dalam barisan Kabinet baharu.
Ketika ditanya sama ada rombakan berkenaan memberi kesan positif kepada Pas, Muhammad Zaidan menganggap tiada apa-apa perubahan berlaku kepada parti itu berikutan rombakan hanya melibatkan pertukaran menteri sedangkan kerajaan masih kekal di bawah BN dan pentadbiran Najib.
"Apa yang jelas, ia memberi kesan kepada Umno dan BN terutamanya dari sudut pergolakan politik dalaman yang lebih terzahir kepada rakyat. Keadaan ini boleh menyedarkan rakyat bahawa parti tersebut tidak boleh dijadikan sandaran pada masa depan.
"Di pihak Pas, kita tiada masalah dari segi urus tadbir serta penyelewengan dan daripada apa yang berlaku, Pas mendapat peluang lebih baik," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment